Antara kekuatan jati diri dan pengaruh masyarakat

Mana yang lebih kuat?

Jati diri atau pengaruh masyarakat?

Menurut Ibn Khaldun, sebenarnya pengaruh masyarakat lebih kuat berbanding jati diri.

Mungkin ramai di antara kita yang mahu berubah, mungkin dari berbagai aspek. Kita mudah untuk memiliki azam yang tinggi untuk mengubah diri kita.Tetapi suasana lebih mempengaruhi keazaman kita.

Mungkin sebagai contoh, kita berazam untuk berjemaah di masjid setiap hari pada waktu Isya’, jadi kita pun bersemangat untuk pergi. Tetapi kita tinggal serumah dengan 6 orang yang lain yang lebih suka solat di rumah. Cukuplah dengan hanya sebab rakan-rakan lain lebih suka solat di rumah, lama kelamaan kita pun akan ikut solat Isya’ dirumah sahaja, kerana suasananya kita seorang sahaja yang ‘lain’.

Tetapi jika perkara ini berlaku sebaliknya, yakni 6 orang rakan serumah kita suka berjemaah di masjid, dan hanya kita yang suka solat dirumah, lama-kelamaan kita pun ikut serta berjemaah di masjid.

Hidup diperantauan

Begitulah juga kehidupan di tempat orang. Sedikit sebanyak pengaruh masyarakat dan suasana disini mempengaruhi diri kita. Mungkin ada yang baik untuk kita, tapi mungkin juga ada yang buruk.

Oleh kerana itu, penting bagi kita mencari, memilih, dan menjadi rakan-rakan yang ‘baik’ supaya tercipta satu suasana yang membantu dalam proses tarbiyah diri kita. Bertepatan dengan salah satu syarat-syarat Tarbiyah iaitu sahabat yang baik.

InsyaAllah, carilah, pilihlah, dan jadilah sahabat yang baik yang memiliki kejujuran dan mengajak ke arah mengingati Allah. Itulah Ukhuwwah yang sejati.

Seeru ‘ala barakatillah

Syumulislam, @Sheffield

Diterbitkan dalam:  on November 24, 2009 at 2:25 am Komentar (1)

NEXT 2010 ~ Nasheed Extravaganza 2010 Coming Soon

next2010 coming soonNantikan Kemunculannya… NEXT2010

Diterbitkan dalam:  on Mei 20, 2009 at 11:13 am Komentar (2)

Solat Hajat Sempena Peperiksaan

Solat Hajat2

Solat Hajat Sempena Peperiksaan

Tarikh             : 17 Mei 2009 (Ahad)

Masa                : 7.30 pm – 9.30 pm

Tempat           : Ruang Solat MWH Sheffield

Penceramah : Ustaz Hasri Bin Harun

Topik               : Ilmu & Hikmah ;  Dimana Kita ??

Muslimin & Muslimat dijemput hadir

Tentatif Program:

7.30pm : Buka Majlis dan Bacaan Doa

7.45 pm : Tazkirah : Ilmu & Hikmah : Dimana Kita??

8.45 pm : Soal & Jawab

9.06 pm : Solat Maghrib ( Jamak dengan Isya’ bagi yang hendak jamak)

9. 30 pm : Solat Hajat

9.45 pm : Tutup majlis & Jamuan Ringan

Semoga Allah berikan kita kemampuan dan kemudahan untuk kita hadir ke majlis ini. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita. Fii amaanillah..

Diterbitkan dalam:  on Mei 12, 2009 at 12:35 am Tinggalkan Komen

Lupa Yang Perlu Ku Ingat

Sebulan saja lagi nak pulang ke Malaysia.

3 minggu lagi nak exam.

MATI, mungkin semasa perkataan yang seterusnya ditulis. Kita tak tahu bila ajal kan bertamu.

kematian1

Hakikatnya hidup sehari-hari di UK, menyebabkan diri semakin lama semakin melupai kematian. Semakin diri lupa dengan kematian semakin lupa diri dengan Tuhan dan akhirnya diri menjadi pelaku dosa.

Hidup sehari-hari hanya memikirkan tentang hari esok, kelas, tutorials, homeworks, assignments exams, seolah-olah mati itu tak akan datang, mati hanyalah selepas dah pencen nanti, selepas menjadi ahli kumpulan KRU (kumpulan rambut uban) barulah fikir tentang kematian.

Walaupun pada mulanya “bekerjalah untuk dunia seolah-olah kau akan hidup selamanya, beramal lah untuk akhiratmu seolah ajalmu kan tiba”

Namun lama-kelamaan yang tinggal hanyalah “bekerjalah untuk duniamu seolah kau kan hidup lama“, hilang nilai “beramal lah untuk akhiratmu seolah ajalmu kan tiba

Lupa diri akan mati.

Bila diri tiada penilaian hidup dan mati, tiada penilaian syurga dan neraka, tiada Tuhan dalam dirinya, maka tiadalah lagi benteng yang menghalangi diri daripada melakukan dosa.

Andai diri ingat akan kematian, pasti diri akan sedar yang suatu hari kematian itu akan membawa dirinya ke alam barzakh, alam kubur yang mana kita bersendirian. Jika di dunia kita ada rakan taulan yang menemani, punya ibubapa sebagai penjaga, punya isteri sebagai peneman. Namun di dalam kubur tiada yang menemani hanya amalan yang menerangi.

Saidina Umar pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w apakah semasa di dalam kubur manusia akan memiliki deria yang sama semasa hidup. Rasulullah mengiyakan apa yang ditanya. Jelas bagi kita, segala himpitan dan siksaan akan kita rasai sama seperti yang kita rasa di dunia.

Selesakah kita berada di dalam tempat yang gelap, sunyi, dan sempit. Rimas.. Jadi bersediakah diri?

kubur2

Andai diri tahu yang suatu hari diri akan mati, pasti penilaian syurga dan neraka akan wujud dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Sebelum diri nak mengumpat, sebelum diri nak menipu, sebelum diri nak menyakiti hati seseorang, fikirkanlah adakah ia akan dikira sebagai dosa yang akan membawa diri ke neraka, ataupun pahala yang akan membawa diri ke syurga.

Wahai bakal-bakal jenazah sekalian..

Orang yang paling pandai adalah orang yang paling banyak mengingati kematian dan orang yang bersedia dengan kematian.

Islam tidak mengajar orang takut dengan kematian, tapi Islam mengajar kita untuk bersedia dengan kematian.

Mati bukanlah akhir bagi kehidupan, tapi mati adalah pemula bagi kehidupan yang tiada akhir.

Kematian bisa menghancurkan kenikmatan dunia.

Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin”. (As-Sajdah: 12)

Orang-orang yang berdosa meminta supaya diri mereka dikembalikan ke dunia. Untuk berapa lama mereka mahu dikembalikan ke dunia? 100 tahun? 10 tahun? sehari?

Tidak lama. Hanya untuk mengucapkan kalimah “Subhanallah” kemudian matikan semula.

Subhanallah, betapa besarnya nilai kalimah Subhanallah sehingga orang-orang yang berdosa meminta andai punya peluang untuk kembali ke dunia cukup sekadar untuk mengucapkan kalimah itu.

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita.

Ingatlah detik malam pertama anda.

malam

Malam pertama anda di Alam Kubur. Bersediakah kita?

Ku berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan, semoga sentiasa istiqamah mengingati mati.

Terima kasih kepada teman yang menghadiahkan buku “Malam pertama di Alam Kubur”, menjadi muhasabah dikala diri lupa akan kematian.

Fii amaanillah.

Syumulislam

7 jamadilawal 1430

Sheffield

Diterbitkan dalam:  on Mei 3, 2009 at 11:50 am Komentar (7)

Ku Bimbang Tiada Lagi..

Sudah lama blog ini tidak dikemaskini. Banyak faktor-faktornya. Tak usahlah disebut disini.

Dikesempatan ini, nak di kongsikan satu cerita yang sudah hampir tiga kali diceritakan oleh Sheikh Omer El-Hamdoon yakni kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab.

kartun

Pada suatu hari, datang dua orang remaja membawa seorang lelaki untuk dihadapkan kepada  Saidina Umar. Dua remaja itu memberitahu Saidina Umar bahawa lelaki yang mereka bawa itu adalah pembunuh ayah mereka. Kemudian Saidina Umar bertanya kepada lelaki tentang kebenaran cerita tersebut. Lelaki mengaku membunuh ayah kedua remaja itu. Insiden yang berlaku ialah lelaki itu menegah ayah remaja itu daripada masuk ke dalam ke dalam kebunnya. Oleh kerana ayah remaja itu berdegil, lelaki marah dan melemparkan batu lantas terkena kepala ayah remaja itu dan mati.

Oleh kerana telah sahih tuduhan itu, maka hukuman terhadap lelaki itu akan dijatuhkan iaitu qisas, bunuh di balas bunuh. Tetapi lelaki itu telah meminta hukuman ditangguhkan setahun lagi kerana dia masih ada anak dan isteri yang perlu disara. Jadi tempoh setahun diminta supaya dia dapat melunasi masalah-masalah keluarganya dan berjanji akan datang semula tahun hadapan untuk dijatuhkan hukuman.

Lalu Saidina Umar meminta jaminan daripada lelaki itu kerana mungkin dalam tempoh setahun itu, dia akan melarikan diri dari hukuman itu. Oleh kerana pengadilan ini dilakukan didepan orang ramai, lelaki itu memerhatikan orang ramai buat seketika seperti mencari seseorang. Kemudian lelaki itu menunding ke arah Abu Zar dan berkata “dia yang akan menjadi penjamin ku”. Kemudian Abu Zar sedikit terkejut dan Abu zar menerima untuk menjadi penjamin kepada lelaki itu. Kemudian tempoh penangguhan diberikan kepada lelaki itu.

Setahun selepas kejadian itu, tibalah masa untuk hukuman dijatuhkan. Apabila semua telah berkumpul, lelaki yang perlu menerima hukuman tidak muncul-muncul. Kemudian Saidina Umar berkata kepada Abu Zar jika lelaki itu tidak datang sebelum senja, Abu Zar lah yang akan dihukum kerana dia adalah penjamin lelaki itu. Kemudian Abu Zar membalas “jika begitu kita tunggulah sehingga senja”.

Namun setelah begitu lama menunggu, lelaki tersebut masih belum datang. Hampir-hampit tiba masa untuk Abu Zar menerima hukuman, tiba-tiba lelaki itu datang juga untuk menerima hukuman.

Kemudian Saidiana Umar bertanya lelaki itu, “kenapa kau datang juga sedangkan kau punya peluang untuk melarikan diri daripada hukuman ini?”

Lelaki itu menjawab “Aku bimbang jika aku mungkir apa yang telah aku janjikan, orang akan menganggap tiada lagi orang yang berpegang pada janjinya dalam masyarakat”.

Kemudian Saidina Umar bertanya pula kepada Abu Zar mengapa dia sanggup menjadi penjamin bagi lelaki ini. Kerana mungkin lelaki ini akan melarikan diri dan dia pula yang akan menerima hukuman itu?

Abu Zar menjawab “Aku bimbang jika aku tidak menerima untuk menjadi penjamin, orang akan menganggap rasa saling mempercayai tidak wujud lagi dalam masyarakat”.

Selepas mendengar kedua-dua penjelasan itu, dua remaja memaafkan lelaki itu dan hukuman tidak jadi dilaksanakan. Kemudian Saidina Umar bertanya mengapa mereka memaafkan lelak itu?

Remaja itu menjawab “Aku bimbang andainya kami tak maafkan lelaki ini, orang akan menganggap kemaafan tidak wujud lagi dalam masyarakat”.

Akhirnya tiada hukuman yang dijalankan. Kerana akhlak, keharmonian masyarakat dapat dikecapi.

Subhanallah.. Begitulah akhlak sahabat, nilai-nilai kemanusiaan diutamakan dalam kehidupan. Berlandaskan syariat Islam yang syumul, keharmonian dalam masyarakat dapat dikecapi.

seremban_gaduh_lagi2

Namun hari ini, manusia rosak kerana ketandusan nilai-nilai kemanusiaan dan akhlak, yang akhirnya manusia menjadi makhluk perosak yang sangat merbahaya. Akhlak yang rosak menjadikan manusia hilang rasa kepercayaan, sukar untuk memaafkan dan takut untuk berjanji. Dimana hilangnya nilai-nilai ini?

Tiadalah ubat yang lebih mujarab melainkan kembali kepada cara hidup Islam yang syumul. Kembalilah kepada fitrah insani yang sebenar-benarnya yakni Islam.

Semoga Allah berikan Hidayah-Nya kepada kita semua. Fii amaanillah.

Syumulislam

1 jamadil awal 1430

@Sheffield

Diterbitkan dalam:  on April 27, 2009 at 6:06 pm Komentar (9)

Lupa..

Bumi UK, indah dipandangan. Hidup ku berubah disini. Malangnya perubahan itu menjadikan aku lupa. Hati semakin kotor dinoda dosa. Malu diriku kepada Allah. Malu pada ibu. Tangan ditadah, adakah diterima doaku, ibadahku, amalanku…

Dahulunya aku tinggal dirumah kayu, beratapkan atap nipah. Mudah bocor ditimpa hujan. Besen menjadi penadah, mengelakkan lantai basah. Nyamuk teman bertepuk tampar diwaktu malam. Ubat nyamuk fumakila menjadi perisai. Diperkukuhkan benteng malam dengan kelambu agar serangan penghisap darah itu dapat dipatahkan. Kotak yang potong petak menjadi kipas menghembus angin, pendingin hawa termurah. Sekadar rawatan bagi kepanasan malam sebelum mata terpejam.

Waktu pagi yang dingin, kolah air yang sejuk membeku menjadi jirusan mandi. Berketar-ketar badan tetap dijirus jua. Sarapan pagi cekodok pisang yang panas, hasil kerja tangan ibu melenyek pisang awak masak ranum  semalam, mujur pisang berbuah.

Baju sekolah ku sarungkan, buku teks ku masukkan ke dalam beg, basikal ku tunggangi ke sekolah. Duit sekolah 30sen cukup untuk sehari belanja. Waktu rehat air 10 sen jadi santapan. Pulang kerumah, sepinggan nasi aku sental licin walaupun hanya ikan temenung goreng dengan kicap. 20sen ku simpan untuk ku guna kemudian. Kadang-kadang terliur melihat rakan-rakan menjamah nasi ayam berharga 60 sen. Jika 20sen ku kumpul 3 hari insyaAllah hari rabu atau khamis akan ku jamah nasi ayam masak merah yang popular kesedapannya itu.

Walaupun hidup tidak sesenang orang lain namun masih bersyukur keluargaku bahagia. Jiranku lebih berada, seronoknya kalau diajak main game TV, tapi itulah yang ibu selalu larang “jangan dok main benda oghang, satgi ghosak sapa nak ganti, bukannya mughah benda tu, pi tengok sudah”.

Bila ‘berjalan’ ke rumah kawan, dapat main, tapi itulah yang ibu larang “toksah pi bejalan ghumah oghang sangat, kacau oghang saja, satgi hilang benda oghang, hang yang kena tuduh, aku la yang nak kena ganti, kita bukan banyak duit”.

Mainan bagi budak-budak memanglah ibarat emas bagi mereka, termasuklah aku. “mak, chek nak ghobot tu” jawapan ibu “apa, ghobot? hang gheti main ka? Buang duit saja, beli makan lagi baguih, mahai tu, hang nak beli pakai apa? Mak takdak duit” dilanjutkan bicara ibu “himpun la duit kalau nak beli”.

Pastinya aku memberontak dan menangis, tapi akur dengan arahan. Umur semuda itu manalah dapat dirasionalkan larangan itu. Hari ini barulah aku terfikir betapa apa yang dilarang ibu ia adalah untuk kebaikanku. Emak ajar untuk sedar siapakah diri ini, apa kedudukan diri. Kesusahan itu satu peringatan. Emak mana yang tak mahu anaknya senang dan gembira, tapi janganlah diturutkan semua kehendak anak. Emak beri apa yang PERLU bukan apa yang aku MAHU. Jika menginginkan sesuatu, kumpullah duit sendiri, buatlah sendiri. Bersusah-susah itu perlu.

Tapi hari ini hidup aku berubah, apa ku mahu akan ku dapat. Mahukan game, ebay tempatnya, mahukan robot, meng’ebay’, tak perlu dirisau. Tempat tinggal ku kini di rumah batu. Bilik dilengkapi heater/kipas, air panas tersedia diwaktu pagi. Sarapan yang mewah, duit poket yang meruah. Berjalanlah saja kemana pun, tak ada yang melarang. Berkawanlah dengan siapa pun tiada yang melarang. Tiada yang mengingatkan aku siapa sebenarnya diri aku.

Akulah dulu yang tinggal dirumah kayu beratap nipah. Akulah dulu yang makan ikan temenung goreng dengan kicap. Akulah dulu yang hanya menonton rakan-rakan lain bermain main game TV dari jendela. Tak usahlah berlagak, siapalah sangat aku.

Kala aku sedang bersenang-senang disini, bagaimana agaknya ibu di kampung. Aku lupa. Kala aku bergelak ketawa disini, bagaimana agaknya ibuku di kampung. “Belajaq la ghajin-ghajin kat sana, buat elok-elok. Nanti hang la senang, mak takpa, mak tak lama dah, nanti masa depan senang, tak hidup susah macam mak. Belajaq la elok-elok.” Nasihat mak yang ringkas dan padat serta berisi.

Sesungguhnya hati ini rindukan peringatan yang mengingatkan. Peringatan yang menyedarkan asal-usul ku. “Maafkan chek mak, chek kadang-kadang lupa pasai pa mai sini, doa-doa la chek kat sini, bagi ghajin belajaq sikit”. Jawapan mak “Haa, doaa, Mak haghi-haghi doa, bagi senang semua anak-anak mak, hang buat la elok-elok”…

Jelaslah sekarang aku yang lupa.. sedang mak tidak pernah lupa kepada setiap anak-anaknya. Begitu juga Allah yang tidak pernah lalai dengan diriku. Aku LUPA…

Sekadar peringatan untuk diri sendiri agar tak lupa daratan dan asal usul ku.

Seperti Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab, tatkala beliau adalah Khalifah pada ketika itu, selepas satu waktu solat beliau naik ke mimbar lalu berkata “Kau berbangga dikedudukan kau sekarang Ya Umar, ingatlah dulu kau hanya seorang penggembala kambing” lalu beliau turun dari mimbar. Lalu orang ramai bertanya apakah releven tindakan beliau. Ternyata apa yang dilakukan Saidina Umar adalah untuk mengingatkan diri agar kedudukan yang dikecapi ketika itu tidak menyebabkan dirinya lupa.

Hampir-hampir diriku lupa. Semoga ada yang mengingatkanku….

Syumulislam

7 Rabiulakhir 1430 @ Sheffield

Diterbitkan dalam:  on April 3, 2009 at 11:01 pm Komentar (3)

Al-Khwarizmi Ilmuan Matematik Islam -Pengenalan

khwarizmii

Al-Khwarizmi – Pengenalan

Al-Khwarizmi, atau nama sebenarnya Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi yang berketurunan Parsi berasal dari kawasan Khwarizm, di kawasan Aral Sea yang hari ini sebahagian daripada Uzbekistan dan Turkmenistan.

Al-Khwarizmi adalah salah seorang ilmuan matematik di Bait al-Hikmah (House of Wisdom) yang diasaskan oleh Khalifah al-Ma’mun pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah. Dilahirkan disekitar tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun sekitar 850 Masihi. Selain sebagai ahli matematik, beliau juga adalah ahli astronomi dan juga ahli geografi di Bait al-Hikmah.

Sumbangan

Sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang matematik, astronomi, astrologi, geografi, dan cartography (tentang peta) serta pengasas kepada perkembangan dalam ilmu algebra dan juga trigonometri. Perkataan Algorithm berasal daripada nama latin al-khwarizmi iaitu algoritmi, manakala istilah Algebra berasal daripada perkataan Al-Jabr dan Al-Muqaabalah yang bermaksud penyempurnaan dan penyeimbangan (pembandingan).

image-al-kitab_al-mue1b8abtae1b9a3ar_fi_e1b8a5isab_al-gabr_wa-l-muqabalaMatematik

Al-Khwarizmi melebih dikenali kepakarannya dalam bidang matematik. Walaupun sejarawan dan ahli matematik berselisih pendapat tentang asal usul Algebra. Namun yang pasti jika pun al-Khwarizmi bukanlah orang yang mengasaskan Algebra, tapi jelas beliau adalah pengembang ilmu Algebra. Beliau menghasil sebuah kitab yang berkaitan dengan algebra iaitu“Al-Kitaab Al-Muhtasar fi hisaab al-jabr wa al-muqaabalah” (Buku keterangan ringkas tentang pengiraan menggunakan Al-Jabr dan Al-muqaabalah (penyempurnaan dan penyeimbangan)) yang menjadi rujukan terkenal dan juga pemula perkembangan ilmu algerba. Pendekatan secara sistematik dan logik beliau dalam menyelesaikan masalah quadratik dan linear memberi acuan baru dalam disiplin ilmu algebra.

Selain daripada algebra, Al-Khwarizmi juga pengembang sistem nombor yang dikenali sebagai Sistem pernomboran Arab dan India yang diguna pakai diseluruh dunia hari ini. Beliau juga antara orang pertama yang menyertakan angka sifar ‘0′ sebagai salah satu digit dalam sistem pernomboran dan memberi nilai kepada angka ‘0′. Beliau juga mengembangkan dan memperkenalkan sistem titik perpuluhan yang ada pada hari ini. Selain beberapa sumbangan lain dalam ilmu matematik.

Astronomi

Beliau adalah salah seorang ahli falak (astronomi) dan menulis sekurang-kurangnya dua buah zij iaitu buku yang mengandungi jadual parameter nilai yang digunakan untuk menentukan kedudukan matahari, bulan, bintang dan planet-planet. Zij penting dalam perkembangan ilmu astronomi hari ini. Zij al-Sindhind (jadual astronomi Sind dan Hind) adalah zij yang dihasilkan oleh Al-Khwarizmi yang berdasarkan keadah astronomi India yang dikaji beliau.

Geografi

Selain Algebra, al-Khwarizmi juga menghasil beberapa kertas kerja tentang ilmu geografi dan menghasilkan tulisan yang bertajuk Kitaab surat al-Ard (Buku tentang rupa muka bumi). Buku ini adalah rujukan dan versi pembetulan kertas kerja Ptolemy tentang Georgafi.

Rumusan

Al-Khwarizmi adalah seorang ahli matematik muslim yang terkenal dan wajar kita jadikan contoh. Sumbangan besar beliau kepada perkembangan ilmu perlu kita jadikan sebagai muhasabah kepada diri kita kerana  satu ketika dahulu umat islam adalah pendominasi ilmu pengetahuan. Mereka berlumba-lumba menimba ilmu atas dasar keimanan kepada Allah. Hari ini budaya ilmu kurang menjadi budaya umat islam dan agak jauh terkebelakang dari segi ilmu pengetahuan. Oleh itu janganlah diculaskan diri, sama-sama kita budayakan semula ilmu pengetahuan dalam hidup kita atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

p/s: Mungkin terdapat kesalahan fakta dalam entri ini, dan pembetulan membina amat dihargai.

Rujukan: A History Of Mathematics: An Introduction, Victor J.Katz, The Algebra of Mohammed Ben Musa (english translation).

Syumulislam

1.02pm 5 Jamadil akhir 1430, Sheffield

Diterbitkan dalam:  on April 1, 2009 at 12:28 pm Komentar (6)

Aku Hairan…

Teringat masa zaman muda-muda dulu masa tingkatan satu di SMK Sungai Acheh. Masa tu tingkatan satu dan dua sesi petang. Mula pukul 1.30petang tamat pada 6.30petang. Paling best pada hari jumaat, mula pukul 2.30petang tamat pada pukul 6.30petang.

smk sg acheh

Seperti biasa pada hari jumaat, sebelum ke sekolah, solat jumaat wajib ditunaikan. Selalunya sebelum turun dari tangga rumah nak ke masjid, pada hari jumaat TV3 akan siarkan satu jam video klip nasyid dari pukul 12tghr sampai pukul 1.00ptg. Satu lagu yang masih jadi minat sehingga sekarang ialah lagu ‘ajibtu nyanyian kumpulan Inteam. Semasa ditingkatan satu, memang genre musik yang diminati bukanlah nasyid, tapi lebih kepada lagu heavy metal. Ajaib juga la lagu Arab ni dapat menarik minat saya yang masa itu masih dizaman jahiliyyah.

Ku Pelik, tapi tak ada yang perlu dipelikkan.

Disebabkan lagu ‘Ajibtu itu diulang setiap minggu, lama kelamaan saya boleh hafal lagu tersebut, semestinya dengan lirik yang salah, asal bunyi sama sudah.

Terfikir juga apa maksud lagu yang pelik ini, tapi sebab dari tingkatan 1 sampai ke tingkatan 5 tak ambil matapelajaran bahasa Arab tak dapat nak terjemahkan lagu ini. Maksud lagu ini terus menjadi misteri. Aku hairan…

Akhirnya dapat juga maksud lagu ‘Ajibtu ni. Semestinya bukan saya yang terjemahkan lagu ni, just “copy and paste

Satu perkongsian, memang mendalam maksud lagu ini. ‘Ajibtu bermaksud “Aku Hairan“. Dan marilah kita hairankan maksud lagu ini.

‘Ajibtu (Aku Hairan) – Inteam

ajibtuMaksudnya secara rambang:

RANGKAP PERTAMA:

PATUTKAH KITA MASIH LALAI SEDANGKAN HARI BERLALU,
KITA BERMAIN SEDANGKAN MAUT/MATI ITU BUKAN MAINAN,
AKU PELIK/HAIRAN TERHADAP MEREKA YANG MASIH LEKA INI,
AKU HAIRAN, SEDANGKAN TIADA APA YANG PATUT AKU HAIRANKAN.

RANGKAP KEDUA:

ADAKAH PATUT SEORANG ITU TERUS LEKA DAN BERMAIN(SERONOK),
SEDANGKAN DIRINYA AKAN MATI DAN RUMAHNYA AKAN RUNTUH,
KITA MELIHAT APA YANG KITA LAKUKAN(AMALAN) SELALUNYA,
TEWAS KEPADA SETIAP KESERONOKAN.

RANGKAP KETIGA:

KITA MELIHAT MALAM DAN SIANG MENYIBUKKAN KITA,
DAN AKU TAK TAHU YANG MANAKAH PATUT AKU PILIH(TERLEBIH AFDHAL UNTUK BERIBADAT),
DAN SETIAP PERKARA ITU ADA TEMPOH YANG PERLU DITUNAIKAN(DIISI DENGAN TANGGUNGJAWAB),
DAN KEPADA SEMUANYA ITU ADA KESAN(CATITAN) YANG DITULIS.

Firman Allah:

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga  di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan  dan anak keturunan …  (Surah Al-Hadid ayat 20)

Syumulislam ,Sheffield 23/3/09

Diterbitkan dalam:  on Mac 23, 2009 at 6:59 pm Komentar (3)

Kesan Tamadun Islam terhadap dunia Matematik

abbasid1

Pada awal kurun ke-7, satu tamadun baru muncul di tanah Arab. Dibawah pimpinan Muhammad s.a.w, dakwah yang bawa Rasulullah tersebar pesat dan luas menambat hati dan iman penduduk  Semenanjung Arab. Kurang satu abad selepas kota Mekah dibuka semula pada tahun 630, kerajaan Islam telah berjaya menyebar luaskan agama Islam sehingga ke India dan hingga ke tengah benua Asia bagi bahagian timur.

Di bahagian  barat, penyebaran agama Islam lebih cepat berlaku terutamanya dibahagian utara benua Afrika. Pada Tahun 711, Islam berjaya sampai ke Sepanyol. Hasil daripada penyebaran agama Islam hingga hampir dua per tiga dunia memberi perkembangan dan kemajuan kepada kerajaan Islam. Budaya Islam menjadi cara hidup manusia pada ketika itu.

Inilah titik permulaan kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Agama Islam telah membawa satu budaya yakni budaya cintakan ilmu yang sangat  besar peranannya kepada dunia ilmu pengetahuan. Itulah cantiknya Islam, tidak pernah menolak bulat-bulat ilmu pengetahuan di dalam kehidupan.

Sejarah Matematik Islam

al-khwarizmi-engraved

Ahli sejarah dan Ahli Matematik barat lebih suka merujuk perkembangan sejarah Matematik ditanah Arab sebagai Matematik Islam kerana ia adalah kesinambungan daripada ajaran Islam yang bawa Rasulullah yang mementingkan soal ilmu pengetahuan. Perkembangan Ilmu pengetahuan banyak berlaku di zaman pemerintahan Abbasiyyah yang dalam masa yang sama Eropah masih di Zaman Gelap. Oleh itu ilmu lebih banyak terbudaya dikalangan orang Islam manakala orang Eropah disekat hak untuk berfikir. Jadi, Matematik Islam lebih sesuai dengan daripada Matematik Arab.

Pada tahun 766, Khalifah Al-Mansur membuka kota Baghdad yang selepas itu menjadi tempat perkembangan Ilmu termasyhur didunia. Cendiakawan dan cerdik pandai  dialu-alukan kedatangan mereka ke Kota Baghdad. Khalifah Harun al-Rashid yang memerintah dari tahun 786 hingga 809 telah menubuhkan perpustakaan di Baghdad. Manuskrip-manuskrip dikumpulkan dari pelbagai bidang dan akademi-akademi di timur barat terutamanya dari tamadun Yunani termasuk manuskrip Matematik Yunani Klasik dan teks-teks saintifik. Kemudian ia diterjemahkan ke bahasa Arab. Penganti Harun al-Rashid, Khalifah Al-Ma’mun meneruskan usaha ini pada skala yang lebih besar dan sehingga tertubuhnya Baitul Hikmah yang bertahan selama 200 tahun. Ilmuan-ilmuan dari seluruh bahagian dalam pemerintahan dijemput untuk menterjemahkan bahasa Greek dan India dan juga menjalankan penyelidikan.

Pada akhir kurun ke-9, pelbagai kertas-kertas kerja cendiakawan seperti Euclid, Archimedes, Apollionius, Diophantus, Plotemy dan ramai lagi ahli matematik Yunani diterjemahkan kebahasa arab untuk kegunaan ilmuan-ilmuan disana. Ilmuan-ilmuan islam bukan hanya mengumpul kajian-kajian lama, bahkan mereka telah mengembangkan ilmu-ilmu kepada satu perspektit baru yang lebih releven. Ini kerana ahli matematik sebelum mereka mengunakan matematik untuk perkara-perkara yang tidak penting kepada manusia seperti menghitung cinta dan sebagainya. Di dalam Matematik Islam, ia lebih banyak digunakan untuk perkara-perkara yang praktikal dan berguna untuk manusia, dan juga disebut sebagai Sunnatullah. Para Ilmuan Islam mengkaji dan berakhir dengan bertemu dengan Kebesaran Allah. Inilah beza antara saintis Islam dan saintis. Tujuan mereka adalah Allah.

allah1

Ilmuan Islam sentiasa memulakan kerja dengan lafaz ”Basmalah”.

“The mathematicians responded by always invoking the name of God at the beginning and end of their works and even occasionally referring to Divine assistance throughout the texts”

Terpegun membaca ayat ini.

Subhanallah, begitulah akhlak ilmuan Islam dahulu yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkerjaan yang mereka lakukan. Sentiasa memulakan dan mengakhiri dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, serta segala apa yang mereka berjaya hasilkan, mereka dikembalikan pujian hanya kepada Allah.

Tidak seperti ahli matematik Yunani, Ilmuan Islam tidak hanya berdasarkan teori, bahkan juga secara praktikal untuk memudahkan kehidupan seharian manusia, atau hari ini dikenali sebagai Applied Math atau matematik gunaan.

Hari ini, satu sejarah lengkap tentang Matematik Islam masih belum ditulis, kerana masih banyak tinggalan manuskrip Ilmuan Islam yang masih belum dikaji di perpustakaan seluruh dunia. Oleh kerana kepentingan politik yang memeningkan, akses kepada hasil kajian mereka yang penting disekat dan dilarang. Namun, fakta asas tentang dunia Matematik Islam masih diketahui. Antara sebab penyekatan ini adalah untuk mengelak umat Islam sedar yang tamadun Islam sangat banyak menyumbang kepada percambahan ilmu pengetahuan pada masa ini. Ia juga antara rancangan musuh Islam untuk melenyapkan kehebatan Islam dari pengetahuan umat Islam di Zaman ini.

Ahli matematik Islam banyak menyumbang untuk secara khususnya dalam penggunaan titik perpuluhan, dan juga mengembangkan topik Algebra secara tersusun dan juga dalam topik Geometri. Beberapa penambahbaikan dalam topik Trigonometri. Apabila Eropah keluar dari Zaman Gelap, mereka tidak memerlukan masa yang banyak untuk mengejar apa yang mereka terkebelakang kerana semuanya hampir lengkap. Hanya perlukan penjenamaan semula dan kembangkan ilmu itu.

(Olahan semula dari buku A History Of Mathematics: An Introduction; Victor J. Katz: Chapter The Mathematics of Islam)

Sejarah ditulis oleh pemenang

sejarah

Hari ini, banyak formula-formula dan tajuk-tajuk matematik terabadi nama ilmuan barat didalamnya. Walaupun hakikatnya mereka hanya menjenamakan semula apa yang telah ada dalam dunia matematik Islam. Nama-nama ilmuan Islam tidak terabadi dalam sebarang teori-teori dan formula-formula matematik. Hanya nama-nama seperti Euclid, Newton, Einstein, Diophantus, Sarrus, Fibonacci dan sebagainya lebih banyak diabadikan. Mungkin nama-nama ilmuan Islam tidak diabadikan bertujuan untuk menjauhkan Islam daripada disebut dalam lecture dan supaya Islam dilihat tidak significant dengan Ilmu.Sekadar pandangan.

Ayuh budayakan semula budaya cintakan Ilmu supaya kita turut maju kehadapan dan kita hapuskan salah tanggapan dunia kepada Islam. Kembalilah kepada Islam. Hujung Akal, pangkal Agama. Ilmu ditimba diakhirnya bertemu dengan Kebesaran Allah, Tuhan Yang Mengetahui.

Syumulislam
3 Rabiulawal 1430
Sheffield
Diterbitkan dalam:  on Februari 28, 2009 at 4:50 pm Komentar (11)

Takda masa la!!! Betul ke???

masa

(Artikel ini adalah muhasabah untuk diri sendiri yakni si penulis)

Sori la, aku takda masa, sibuk”

Inilah antara alasan yang sering diberi jika ku perlu menolak ajakan seseorang.

Tapi benarkah ku ‘takda masa’?

Spring Semester

Hicks Building

Spring semester ku akan bermula 9hb Februari ini dan berakhir pada 12hb jun. Jika dikira jumlah hari yang ada dalam tempoh ini, ku ada 124 hari sepanjang spring sem ni. 124 hari ini termasuk cuti minggu dan cuti easter.

Kiraan untuk diri sendiri ( Berdasarkan jadual pelajar pure math)

9/2/09 – 12/6/09  = 124 hari

Lecture week = 12 minggu = 12 x 5 hari = 60 hari ( tak termasuk cuti sabtu & ahad)

Exam week = 3 minggu = 3 x 5 hari = 15 hari ( tapi 6 paper je ) -> 6 hari

60 hari + 6 hari = 66 hari ( hari yang ada kelas dan exam)

124 hari – 66 hari = 58 hari ( boleh dikategorikan sebagai hari cuti)

Hari yang digunakan secara rasmi untuk kos Pure Math hanyalah 66 hari. Selebihnya 58 hari (2bulan) adalah cuti. Hampir separuh dari spring sem adalah cuti untuk ku. Tapi masih ada rungutan yang mengatakan masa tak cukup.

Kemana ku buang masa yang 58 hari itu???

Hmm, payah soalan tu….

Masa itu emas

Itulah pepatah melayu yang menunjukkan betapa berharganya masa. Bahkan didalam Al-Quran juga disebut tentang masa iaitu dalam Surah Al-’Ars. Allah bersumpah dengan Al-’Ars yang bermaksud masa atau detik zaman yang dilalui oleh manusia. Ini menunjukkan bahawa betapa masa itu adalah satu sesuatu yang sangat besar nilainya dan penting sehingga Allah bersumpah demi masa.

Jadi peringatan untuk diri sendiri, janganlah disalahkan masa, andai terasa masa itu tidak cukup, salahkanlah diri sendiri yang tak pandai menjaga dan mengurus masa. Orang-orang tak menghargai masa sesungguhnya mereka dalam kerugian, melainkan bagi orang yang menggunakan masanya untuk beramal soleh serta berdakwah dengan berpesan-pesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Kalau tak nak rugi, beramal solehlah dan berdakwahlah.

Beramal soleh itu luas definisinya, kerana Islam itu adalah cara hidup, dan hidup ini kira sebagai ibadah, itulah syumulnya Islam. Baca buku, buat latihan, pergi ke kelas, cari maklumat dalam internet juga akan dikira sebagai ibadah jika betul niat kita dan betul kerja kita itu.

6 syarat untuk kerja dikira sebagai ibadah, 2 perkara sebelum kerja dilakukan, 3 perkara semasa kerja dilakukan dan 1 perkara selepas kerja dilakukan iaitu:

Sebelum memulakan kerja/perkara:

1. Niat kerana Allah

2. Kerja/perkara yang dilakukan itu sesuatu yang dibenarkan syarak

Semasa melakukan kerja/perkara:

3. Kerja/perkara itu tidak bercampur aduk dengan perkara-perkara yang haram dan yang ditegah oleh syariat

4. Melakukan kerja/perkara secara optimum yakni bersungguh-sungguh (jangan cincai-cincai)

5. Semasa buat kerja/perkara itu, ibadah asas tidak ditinggalkan yakni solat dan sebagainya

Selepas kerja/perkara dilakukan atau selesai:

6. Hasil dari kerja/perkara yang kita lakukan, kita gunakanuntuk perkara yang wajib dan baik ( e.g: gaji digunakan untuk bayar zakat dan kegunaan keluarga, bukan berfoya-foya atau membazir)

Panjang cerita pulak

Kesimpulannya, khususnya untuk diri sendiri ialah:

1. Gunakanlah masa dengansebaiknya, 58 hari cuti itu gunakanlah sebaik mungkin, jangan disia-siakan.

2. Janganlah memberi alasan tiada masa kerana semua orang Allah berikan nikmat masa 24jam sehari. Jika mengatakan tiada masa bererti diri sudah tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan bimbang kufur nikmat pula.

3. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah yang bermaksud: Janganlah kamu mencela masa kerana Allah itu sinonim diri-Nya dengan masa.

4. Uruslah masa dengan baik semoga diri tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi.

5. Ayuh Diriku, sibukkanlah diri dengan menimba Ilmu kerna ku bakal Pendidik anak bangsa

Allahu wa Rasuluhu ‘alam

Syumulislam: 4 Feb 09, 12:33am Sheffield

Diterbitkan dalam:  on Februari 4, 2009 at 8:43 am Komentar (2)