Ku Bimbang Tiada Lagi..

Sudah lama blog ini tidak dikemaskini. Banyak faktor-faktornya. Tak usahlah disebut disini.

Dikesempatan ini, nak di kongsikan satu cerita yang sudah hampir tiga kali diceritakan oleh Sheikh Omer El-Hamdoon yakni kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab.

kartun

Pada suatu hari, datang dua orang remaja membawa seorang lelaki untuk dihadapkan kepada  Saidina Umar. Dua remaja itu memberitahu Saidina Umar bahawa lelaki yang mereka bawa itu adalah pembunuh ayah mereka. Kemudian Saidina Umar bertanya kepada lelaki tentang kebenaran cerita tersebut. Lelaki mengaku membunuh ayah kedua remaja itu. Insiden yang berlaku ialah lelaki itu menegah ayah remaja itu daripada masuk ke dalam ke dalam kebunnya. Oleh kerana ayah remaja itu berdegil, lelaki marah dan melemparkan batu lantas terkena kepala ayah remaja itu dan mati.

Oleh kerana telah sahih tuduhan itu, maka hukuman terhadap lelaki itu akan dijatuhkan iaitu qisas, bunuh di balas bunuh. Tetapi lelaki itu telah meminta hukuman ditangguhkan setahun lagi kerana dia masih ada anak dan isteri yang perlu disara. Jadi tempoh setahun diminta supaya dia dapat melunasi masalah-masalah keluarganya dan berjanji akan datang semula tahun hadapan untuk dijatuhkan hukuman.

Lalu Saidina Umar meminta jaminan daripada lelaki itu kerana mungkin dalam tempoh setahun itu, dia akan melarikan diri dari hukuman itu. Oleh kerana pengadilan ini dilakukan didepan orang ramai, lelaki itu memerhatikan orang ramai buat seketika seperti mencari seseorang. Kemudian lelaki itu menunding ke arah Abu Zar dan berkata “dia yang akan menjadi penjamin ku”. Kemudian Abu Zar sedikit terkejut dan Abu zar menerima untuk menjadi penjamin kepada lelaki itu. Kemudian tempoh penangguhan diberikan kepada lelaki itu.

Setahun selepas kejadian itu, tibalah masa untuk hukuman dijatuhkan. Apabila semua telah berkumpul, lelaki yang perlu menerima hukuman tidak muncul-muncul. Kemudian Saidina Umar berkata kepada Abu Zar jika lelaki itu tidak datang sebelum senja, Abu Zar lah yang akan dihukum kerana dia adalah penjamin lelaki itu. Kemudian Abu Zar membalas “jika begitu kita tunggulah sehingga senja”.

Namun setelah begitu lama menunggu, lelaki tersebut masih belum datang. Hampir-hampit tiba masa untuk Abu Zar menerima hukuman, tiba-tiba lelaki itu datang juga untuk menerima hukuman.

Kemudian Saidiana Umar bertanya lelaki itu, “kenapa kau datang juga sedangkan kau punya peluang untuk melarikan diri daripada hukuman ini?”

Lelaki itu menjawab “Aku bimbang jika aku mungkir apa yang telah aku janjikan, orang akan menganggap tiada lagi orang yang berpegang pada janjinya dalam masyarakat”.

Kemudian Saidina Umar bertanya pula kepada Abu Zar mengapa dia sanggup menjadi penjamin bagi lelaki ini. Kerana mungkin lelaki ini akan melarikan diri dan dia pula yang akan menerima hukuman itu?

Abu Zar menjawab “Aku bimbang jika aku tidak menerima untuk menjadi penjamin, orang akan menganggap rasa saling mempercayai tidak wujud lagi dalam masyarakat”.

Selepas mendengar kedua-dua penjelasan itu, dua remaja memaafkan lelaki itu dan hukuman tidak jadi dilaksanakan. Kemudian Saidina Umar bertanya mengapa mereka memaafkan lelak itu?

Remaja itu menjawab “Aku bimbang andainya kami tak maafkan lelaki ini, orang akan menganggap kemaafan tidak wujud lagi dalam masyarakat”.

Akhirnya tiada hukuman yang dijalankan. Kerana akhlak, keharmonian masyarakat dapat dikecapi.

Subhanallah.. Begitulah akhlak sahabat, nilai-nilai kemanusiaan diutamakan dalam kehidupan. Berlandaskan syariat Islam yang syumul, keharmonian dalam masyarakat dapat dikecapi.

seremban_gaduh_lagi2

Namun hari ini, manusia rosak kerana ketandusan nilai-nilai kemanusiaan dan akhlak, yang akhirnya manusia menjadi makhluk perosak yang sangat merbahaya. Akhlak yang rosak menjadikan manusia hilang rasa kepercayaan, sukar untuk memaafkan dan takut untuk berjanji. Dimana hilangnya nilai-nilai ini?

Tiadalah ubat yang lebih mujarab melainkan kembali kepada cara hidup Islam yang syumul. Kembalilah kepada fitrah insani yang sebenar-benarnya yakni Islam.

Semoga Allah berikan Hidayah-Nya kepada kita semua. Fii amaanillah.

Syumulislam

1 jamadil awal 1430

@Sheffield

Published in: on April 27, 2009 at 6:06 pm  Comments (9)  

Lupa..

Bumi UK, indah dipandangan. Hidup ku berubah disini. Malangnya perubahan itu menjadikan aku lupa. Hati semakin kotor dinoda dosa. Malu diriku kepada Allah. Malu pada ibu. Tangan ditadah, adakah diterima doaku, ibadahku, amalanku…

Dahulunya aku tinggal dirumah kayu, beratapkan atap nipah. Mudah bocor ditimpa hujan. Besen menjadi penadah, mengelakkan lantai basah. Nyamuk teman bertepuk tampar diwaktu malam. Ubat nyamuk fumakila menjadi perisai. Diperkukuhkan benteng malam dengan kelambu agar serangan penghisap darah itu dapat dipatahkan. Kotak yang potong petak menjadi kipas menghembus angin, pendingin hawa termurah. Sekadar rawatan bagi kepanasan malam sebelum mata terpejam.

Waktu pagi yang dingin, kolah air yang sejuk membeku menjadi jirusan mandi. Berketar-ketar badan tetap dijirus jua. Sarapan pagi cekodok pisang yang panas, hasil kerja tangan ibu melenyek pisang awak masak ranum  semalam, mujur pisang berbuah.

Baju sekolah ku sarungkan, buku teks ku masukkan ke dalam beg, basikal ku tunggangi ke sekolah. Duit sekolah 30sen cukup untuk sehari belanja. Waktu rehat air 10 sen jadi santapan. Pulang kerumah, sepinggan nasi aku sental licin walaupun hanya ikan temenung goreng dengan kicap. 20sen ku simpan untuk ku guna kemudian. Kadang-kadang terliur melihat rakan-rakan menjamah nasi ayam berharga 60 sen. Jika 20sen ku kumpul 3 hari insyaAllah hari rabu atau khamis akan ku jamah nasi ayam masak merah yang popular kesedapannya itu.

Walaupun hidup tidak sesenang orang lain namun masih bersyukur keluargaku bahagia. Jiranku lebih berada, seronoknya kalau diajak main game TV, tapi itulah yang ibu selalu larang “jangan dok main benda oghang, satgi ghosak sapa nak ganti, bukannya mughah benda tu, pi tengok sudah”.

Bila ‘berjalan’ ke rumah kawan, dapat main, tapi itulah yang ibu larang “toksah pi bejalan ghumah oghang sangat, kacau oghang saja, satgi hilang benda oghang, hang yang kena tuduh, aku la yang nak kena ganti, kita bukan banyak duit”.

Mainan bagi budak-budak memanglah ibarat emas bagi mereka, termasuklah aku. “mak, chek nak ghobot tu” jawapan ibu “apa, ghobot? hang gheti main ka? Buang duit saja, beli makan lagi baguih, mahai tu, hang nak beli pakai apa? Mak takdak duit” dilanjutkan bicara ibu “himpun la duit kalau nak beli”.

Pastinya aku memberontak dan menangis, tapi akur dengan arahan. Umur semuda itu manalah dapat dirasionalkan larangan itu. Hari ini barulah aku terfikir betapa apa yang dilarang ibu ia adalah untuk kebaikanku. Emak ajar untuk sedar siapakah diri ini, apa kedudukan diri. Kesusahan itu satu peringatan. Emak mana yang tak mahu anaknya senang dan gembira, tapi janganlah diturutkan semua kehendak anak. Emak beri apa yang PERLU bukan apa yang aku MAHU. Jika menginginkan sesuatu, kumpullah duit sendiri, buatlah sendiri. Bersusah-susah itu perlu.

Tapi hari ini hidup aku berubah, apa ku mahu akan ku dapat. Mahukan game, ebay tempatnya, mahukan robot, meng’ebay’, tak perlu dirisau. Tempat tinggal ku kini di rumah batu. Bilik dilengkapi heater/kipas, air panas tersedia diwaktu pagi. Sarapan yang mewah, duit poket yang meruah. Berjalanlah saja kemana pun, tak ada yang melarang. Berkawanlah dengan siapa pun tiada yang melarang. Tiada yang mengingatkan aku siapa sebenarnya diri aku.

Akulah dulu yang tinggal dirumah kayu beratap nipah. Akulah dulu yang makan ikan temenung goreng dengan kicap. Akulah dulu yang hanya menonton rakan-rakan lain bermain main game TV dari jendela. Tak usahlah berlagak, siapalah sangat aku.

Kala aku sedang bersenang-senang disini, bagaimana agaknya ibu di kampung. Aku lupa. Kala aku bergelak ketawa disini, bagaimana agaknya ibuku di kampung. “Belajaq la ghajin-ghajin kat sana, buat elok-elok. Nanti hang la senang, mak takpa, mak tak lama dah, nanti masa depan senang, tak hidup susah macam mak. Belajaq la elok-elok.” Nasihat mak yang ringkas dan padat serta berisi.

Sesungguhnya hati ini rindukan peringatan yang mengingatkan. Peringatan yang menyedarkan asal-usul ku. “Maafkan chek mak, chek kadang-kadang lupa pasai pa mai sini, doa-doa la chek kat sini, bagi ghajin belajaq sikit”. Jawapan mak “Haa, doaa, Mak haghi-haghi doa, bagi senang semua anak-anak mak, hang buat la elok-elok”…

Jelaslah sekarang aku yang lupa.. sedang mak tidak pernah lupa kepada setiap anak-anaknya. Begitu juga Allah yang tidak pernah lalai dengan diriku. Aku LUPA…

Sekadar peringatan untuk diri sendiri agar tak lupa daratan dan asal usul ku.

Seperti Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab, tatkala beliau adalah Khalifah pada ketika itu, selepas satu waktu solat beliau naik ke mimbar lalu berkata “Kau berbangga dikedudukan kau sekarang Ya Umar, ingatlah dulu kau hanya seorang penggembala kambing” lalu beliau turun dari mimbar. Lalu orang ramai bertanya apakah releven tindakan beliau. Ternyata apa yang dilakukan Saidina Umar adalah untuk mengingatkan diri agar kedudukan yang dikecapi ketika itu tidak menyebabkan dirinya lupa.

Hampir-hampir diriku lupa. Semoga ada yang mengingatkanku….

Syumulislam

7 Rabiulakhir 1430 @ Sheffield

Published in: on April 3, 2009 at 11:01 pm  Comments (3)  

Al-Khwarizmi Ilmuan Matematik Islam -Pengenalan

khwarizmii

Al-Khwarizmi – Pengenalan

Al-Khwarizmi, atau nama sebenarnya Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi yang berketurunan Parsi berasal dari kawasan Khwarizm, di kawasan Aral Sea yang hari ini sebahagian daripada Uzbekistan dan Turkmenistan.

Al-Khwarizmi adalah salah seorang ilmuan matematik di Bait al-Hikmah (House of Wisdom) yang diasaskan oleh Khalifah al-Ma’mun pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah. Dilahirkan disekitar tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun sekitar 850 Masihi. Selain sebagai ahli matematik, beliau juga adalah ahli astronomi dan juga ahli geografi di Bait al-Hikmah.

Sumbangan

Sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang matematik, astronomi, astrologi, geografi, dan cartography (tentang peta) serta pengasas kepada perkembangan dalam ilmu algebra dan juga trigonometri. Perkataan Algorithm berasal daripada nama latin al-khwarizmi iaitu algoritmi, manakala istilah Algebra berasal daripada perkataan Al-Jabr dan Al-Muqaabalah yang bermaksud penyempurnaan dan penyeimbangan (pembandingan).

image-al-kitab_al-mue1b8abtae1b9a3ar_fi_e1b8a5isab_al-gabr_wa-l-muqabalaMatematik

Al-Khwarizmi melebih dikenali kepakarannya dalam bidang matematik. Walaupun sejarawan dan ahli matematik berselisih pendapat tentang asal usul Algebra. Namun yang pasti jika pun al-Khwarizmi bukanlah orang yang mengasaskan Algebra, tapi jelas beliau adalah pengembang ilmu Algebra. Beliau menghasil sebuah kitab yang berkaitan dengan algebra iaitu“Al-Kitaab Al-Muhtasar fi hisaab al-jabr wa al-muqaabalah” (Buku keterangan ringkas tentang pengiraan menggunakan Al-Jabr dan Al-muqaabalah (penyempurnaan dan penyeimbangan)) yang menjadi rujukan terkenal dan juga pemula perkembangan ilmu algerba. Pendekatan secara sistematik dan logik beliau dalam menyelesaikan masalah quadratik dan linear memberi acuan baru dalam disiplin ilmu algebra.

Selain daripada algebra, Al-Khwarizmi juga pengembang sistem nombor yang dikenali sebagai Sistem pernomboran Arab dan India yang diguna pakai diseluruh dunia hari ini. Beliau juga antara orang pertama yang menyertakan angka sifar ‘0’ sebagai salah satu digit dalam sistem pernomboran dan memberi nilai kepada angka ‘0’. Beliau juga mengembangkan dan memperkenalkan sistem titik perpuluhan yang ada pada hari ini. Selain beberapa sumbangan lain dalam ilmu matematik.

Astronomi

Beliau adalah salah seorang ahli falak (astronomi) dan menulis sekurang-kurangnya dua buah zij iaitu buku yang mengandungi jadual parameter nilai yang digunakan untuk menentukan kedudukan matahari, bulan, bintang dan planet-planet. Zij penting dalam perkembangan ilmu astronomi hari ini. Zij al-Sindhind (jadual astronomi Sind dan Hind) adalah zij yang dihasilkan oleh Al-Khwarizmi yang berdasarkan keadah astronomi India yang dikaji beliau.

Geografi

Selain Algebra, al-Khwarizmi juga menghasil beberapa kertas kerja tentang ilmu geografi dan menghasilkan tulisan yang bertajuk Kitaab surat al-Ard (Buku tentang rupa muka bumi). Buku ini adalah rujukan dan versi pembetulan kertas kerja Ptolemy tentang Georgafi.

Rumusan

Al-Khwarizmi adalah seorang ahli matematik muslim yang terkenal dan wajar kita jadikan contoh. Sumbangan besar beliau kepada perkembangan ilmu perlu kita jadikan sebagai muhasabah kepada diri kita kerana  satu ketika dahulu umat islam adalah pendominasi ilmu pengetahuan. Mereka berlumba-lumba menimba ilmu atas dasar keimanan kepada Allah. Hari ini budaya ilmu kurang menjadi budaya umat islam dan agak jauh terkebelakang dari segi ilmu pengetahuan. Oleh itu janganlah diculaskan diri, sama-sama kita budayakan semula ilmu pengetahuan dalam hidup kita atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

p/s: Mungkin terdapat kesalahan fakta dalam entri ini, dan pembetulan membina amat dihargai.

Rujukan: A History Of Mathematics: An Introduction, Victor J.Katz, The Algebra of Mohammed Ben Musa (english translation).

Syumulislam

1.02pm 5 Jamadil akhir 1430, Sheffield

Published in: on April 1, 2009 at 12:28 pm  Comments (16)