Lupa..

Bumi UK, indah dipandangan. Hidup ku berubah disini. Malangnya perubahan itu menjadikan aku lupa. Hati semakin kotor dinoda dosa. Malu diriku kepada Allah. Malu pada ibu. Tangan ditadah, adakah diterima doaku, ibadahku, amalanku…

Dahulunya aku tinggal dirumah kayu, beratapkan atap nipah. Mudah bocor ditimpa hujan. Besen menjadi penadah, mengelakkan lantai basah. Nyamuk teman bertepuk tampar diwaktu malam. Ubat nyamuk fumakila menjadi perisai. Diperkukuhkan benteng malam dengan kelambu agar serangan penghisap darah itu dapat dipatahkan. Kotak yang potong petak menjadi kipas menghembus angin, pendingin hawa termurah. Sekadar rawatan bagi kepanasan malam sebelum mata terpejam.

Waktu pagi yang dingin, kolah air yang sejuk membeku menjadi jirusan mandi. Berketar-ketar badan tetap dijirus jua. Sarapan pagi cekodok pisang yang panas, hasil kerja tangan ibu melenyek pisang awak masak ranum  semalam, mujur pisang berbuah.

Baju sekolah ku sarungkan, buku teks ku masukkan ke dalam beg, basikal ku tunggangi ke sekolah. Duit sekolah 30sen cukup untuk sehari belanja. Waktu rehat air 10 sen jadi santapan. Pulang kerumah, sepinggan nasi aku sental licin walaupun hanya ikan temenung goreng dengan kicap. 20sen ku simpan untuk ku guna kemudian. Kadang-kadang terliur melihat rakan-rakan menjamah nasi ayam berharga 60 sen. Jika 20sen ku kumpul 3 hari insyaAllah hari rabu atau khamis akan ku jamah nasi ayam masak merah yang popular kesedapannya itu.

Walaupun hidup tidak sesenang orang lain namun masih bersyukur keluargaku bahagia. Jiranku lebih berada, seronoknya kalau diajak main game TV, tapi itulah yang ibu selalu larang “jangan dok main benda oghang, satgi ghosak sapa nak ganti, bukannya mughah benda tu, pi tengok sudah”.

Bila ‘berjalan’ ke rumah kawan, dapat main, tapi itulah yang ibu larang “toksah pi bejalan ghumah oghang sangat, kacau oghang saja, satgi hilang benda oghang, hang yang kena tuduh, aku la yang nak kena ganti, kita bukan banyak duit”.

Mainan bagi budak-budak memanglah ibarat emas bagi mereka, termasuklah aku. “mak, chek nak ghobot tu” jawapan ibu “apa, ghobot? hang gheti main ka? Buang duit saja, beli makan lagi baguih, mahai tu, hang nak beli pakai apa? Mak takdak duit” dilanjutkan bicara ibu “himpun la duit kalau nak beli”.

Pastinya aku memberontak dan menangis, tapi akur dengan arahan. Umur semuda itu manalah dapat dirasionalkan larangan itu. Hari ini barulah aku terfikir betapa apa yang dilarang ibu ia adalah untuk kebaikanku. Emak ajar untuk sedar siapakah diri ini, apa kedudukan diri. Kesusahan itu satu peringatan. Emak mana yang tak mahu anaknya senang dan gembira, tapi janganlah diturutkan semua kehendak anak. Emak beri apa yang PERLU bukan apa yang aku MAHU. Jika menginginkan sesuatu, kumpullah duit sendiri, buatlah sendiri. Bersusah-susah itu perlu.

Tapi hari ini hidup aku berubah, apa ku mahu akan ku dapat. Mahukan game, ebay tempatnya, mahukan robot, meng’ebay’, tak perlu dirisau. Tempat tinggal ku kini di rumah batu. Bilik dilengkapi heater/kipas, air panas tersedia diwaktu pagi. Sarapan yang mewah, duit poket yang meruah. Berjalanlah saja kemana pun, tak ada yang melarang. Berkawanlah dengan siapa pun tiada yang melarang. Tiada yang mengingatkan aku siapa sebenarnya diri aku.

Akulah dulu yang tinggal dirumah kayu beratap nipah. Akulah dulu yang makan ikan temenung goreng dengan kicap. Akulah dulu yang hanya menonton rakan-rakan lain bermain main game TV dari jendela. Tak usahlah berlagak, siapalah sangat aku.

Kala aku sedang bersenang-senang disini, bagaimana agaknya ibu di kampung. Aku lupa. Kala aku bergelak ketawa disini, bagaimana agaknya ibuku di kampung. “Belajaq la ghajin-ghajin kat sana, buat elok-elok. Nanti hang la senang, mak takpa, mak tak lama dah, nanti masa depan senang, tak hidup susah macam mak. Belajaq la elok-elok.” Nasihat mak yang ringkas dan padat serta berisi.

Sesungguhnya hati ini rindukan peringatan yang mengingatkan. Peringatan yang menyedarkan asal-usul ku. “Maafkan chek mak, chek kadang-kadang lupa pasai pa mai sini, doa-doa la chek kat sini, bagi ghajin belajaq sikit”. Jawapan mak “Haa, doaa, Mak haghi-haghi doa, bagi senang semua anak-anak mak, hang buat la elok-elok”…

Jelaslah sekarang aku yang lupa.. sedang mak tidak pernah lupa kepada setiap anak-anaknya. Begitu juga Allah yang tidak pernah lalai dengan diriku. Aku LUPA…

Sekadar peringatan untuk diri sendiri agar tak lupa daratan dan asal usul ku.

Seperti Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab, tatkala beliau adalah Khalifah pada ketika itu, selepas satu waktu solat beliau naik ke mimbar lalu berkata “Kau berbangga dikedudukan kau sekarang Ya Umar, ingatlah dulu kau hanya seorang penggembala kambing” lalu beliau turun dari mimbar. Lalu orang ramai bertanya apakah releven tindakan beliau. Ternyata apa yang dilakukan Saidina Umar adalah untuk mengingatkan diri agar kedudukan yang dikecapi ketika itu tidak menyebabkan dirinya lupa.

Hampir-hampir diriku lupa. Semoga ada yang mengingatkanku….

Syumulislam

7 Rabiulakhir 1430 @ Sheffield

Published in: on April 3, 2009 at 11:01 pm  Comments (3)  

The URI to TrackBack this entry is: https://syumulislam.wordpress.com/2009/04/03/lupa/trackback/

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini.

3 KomenTinggalkan komen

  1. Salam wbt

    Hidup susah itu satu pengalaman yang penuh bermakna
    Kesusahan mengajar kita untuk hidup lebih tabah
    Dulu susah, sekarang senang sedikit berbanding dulu, akan datang?

    Semoga berjaya

  2. menangiskah atau tersenyumkah kita dengan semalam yg begitu?
    jagan sesekali lupa akan semalam yg begitu agar ia bisa buatkan kita tahu diri yg hari ini. Semoga tabah meredah dunia,ana doakan. Saling mengingatkan..insyAllah.

  3. masayaalah..

    jazakallah for the beautiful entry. it was meaningful indeed.

    we are always looking forward and praying for happiness, wealth and joy..but sometimes, we dont realize those things might be harmful when we are started to forget how it feels to be difficult, sad and poor. that is why zikir and fikir is extremely crucial in daily life in order to bring us back on the ground of syukur.

    wallahualam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: