Antara kekuatan jati diri dan pengaruh masyarakat

Mana yang lebih kuat?

Jati diri atau pengaruh masyarakat?

Menurut Ibn Khaldun, sebenarnya pengaruh masyarakat lebih kuat berbanding jati diri.

Mungkin ramai di antara kita yang mahu berubah, mungkin dari berbagai aspek. Kita mudah untuk memiliki azam yang tinggi untuk mengubah diri kita.Tetapi suasana lebih mempengaruhi keazaman kita.

Mungkin sebagai contoh, kita berazam untuk berjemaah di masjid setiap hari pada waktu Isya’, jadi kita pun bersemangat untuk pergi. Tetapi kita tinggal serumah dengan 6 orang yang lain yang lebih suka solat di rumah. Cukuplah dengan hanya sebab rakan-rakan lain lebih suka solat di rumah, lama kelamaan kita pun akan ikut solat Isya’ dirumah sahaja, kerana suasananya kita seorang sahaja yang ‘lain’.

Tetapi jika perkara ini berlaku sebaliknya, yakni 6 orang rakan serumah kita suka berjemaah di masjid, dan hanya kita yang suka solat dirumah, lama-kelamaan kita pun ikut serta berjemaah di masjid.

Hidup diperantauan

Begitulah juga kehidupan di tempat orang. Sedikit sebanyak pengaruh masyarakat dan suasana disini mempengaruhi diri kita. Mungkin ada yang baik untuk kita, tapi mungkin juga ada yang buruk.

Oleh kerana itu, penting bagi kita mencari, memilih, dan menjadi rakan-rakan yang ‘baik’ supaya tercipta satu suasana yang membantu dalam proses tarbiyah diri kita. Bertepatan dengan salah satu syarat-syarat Tarbiyah iaitu sahabat yang baik.

InsyaAllah, carilah, pilihlah, dan jadilah sahabat yang baik yang memiliki kejujuran dan mengajak ke arah mengingati Allah. Itulah Ukhuwwah yang sejati.

Seeru ‘ala barakatillah

Syumulislam, @Sheffield

Advertisements
Published in: on November 24, 2009 at 2:25 am  Comments (2)  

Lupa Yang Perlu Ku Ingat

Sebulan saja lagi nak pulang ke Malaysia.

3 minggu lagi nak exam.

MATI, mungkin semasa perkataan yang seterusnya ditulis. Kita tak tahu bila ajal kan bertamu.

kematian1

Hakikatnya hidup sehari-hari di UK, menyebabkan diri semakin lama semakin melupai kematian. Semakin diri lupa dengan kematian semakin lupa diri dengan Tuhan dan akhirnya diri menjadi pelaku dosa.

Hidup sehari-hari hanya memikirkan tentang hari esok, kelas, tutorials, homeworks, assignments exams, seolah-olah mati itu tak akan datang, mati hanyalah selepas dah pencen nanti, selepas menjadi ahli kumpulan KRU (kumpulan rambut uban) barulah fikir tentang kematian.

Walaupun pada mulanya “bekerjalah untuk dunia seolah-olah kau akan hidup selamanya, beramal lah untuk akhiratmu seolah ajalmu kan tiba”

Namun lama-kelamaan yang tinggal hanyalah “bekerjalah untuk duniamu seolah kau kan hidup lama“, hilang nilai “beramal lah untuk akhiratmu seolah ajalmu kan tiba

Lupa diri akan mati.

Bila diri tiada penilaian hidup dan mati, tiada penilaian syurga dan neraka, tiada Tuhan dalam dirinya, maka tiadalah lagi benteng yang menghalangi diri daripada melakukan dosa.

Andai diri ingat akan kematian, pasti diri akan sedar yang suatu hari kematian itu akan membawa dirinya ke alam barzakh, alam kubur yang mana kita bersendirian. Jika di dunia kita ada rakan taulan yang menemani, punya ibubapa sebagai penjaga, punya isteri sebagai peneman. Namun di dalam kubur tiada yang menemani hanya amalan yang menerangi.

Saidina Umar pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w apakah semasa di dalam kubur manusia akan memiliki deria yang sama semasa hidup. Rasulullah mengiyakan apa yang ditanya. Jelas bagi kita, segala himpitan dan siksaan akan kita rasai sama seperti yang kita rasa di dunia.

Selesakah kita berada di dalam tempat yang gelap, sunyi, dan sempit. Rimas.. Jadi bersediakah diri?

kubur2

Andai diri tahu yang suatu hari diri akan mati, pasti penilaian syurga dan neraka akan wujud dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Sebelum diri nak mengumpat, sebelum diri nak menipu, sebelum diri nak menyakiti hati seseorang, fikirkanlah adakah ia akan dikira sebagai dosa yang akan membawa diri ke neraka, ataupun pahala yang akan membawa diri ke syurga.

Wahai bakal-bakal jenazah sekalian..

Orang yang paling pandai adalah orang yang paling banyak mengingati kematian dan orang yang bersedia dengan kematian.

Islam tidak mengajar orang takut dengan kematian, tapi Islam mengajar kita untuk bersedia dengan kematian.

Mati bukanlah akhir bagi kehidupan, tapi mati adalah pemula bagi kehidupan yang tiada akhir.

Kematian bisa menghancurkan kenikmatan dunia.

Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin”. (As-Sajdah: 12)

Orang-orang yang berdosa meminta supaya diri mereka dikembalikan ke dunia. Untuk berapa lama mereka mahu dikembalikan ke dunia? 100 tahun? 10 tahun? sehari?

Tidak lama. Hanya untuk mengucapkan kalimah “Subhanallah” kemudian matikan semula.

Subhanallah, betapa besarnya nilai kalimah Subhanallah sehingga orang-orang yang berdosa meminta andai punya peluang untuk kembali ke dunia cukup sekadar untuk mengucapkan kalimah itu.

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita.

Ingatlah detik malam pertama anda.

malam

Malam pertama anda di Alam Kubur. Bersediakah kita?

Ku berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan, semoga sentiasa istiqamah mengingati mati.

Terima kasih kepada teman yang menghadiahkan buku “Malam pertama di Alam Kubur”, menjadi muhasabah dikala diri lupa akan kematian.

Fii amaanillah.

Syumulislam

7 jamadilawal 1430

Sheffield

Published in: on Mei 3, 2009 at 11:50 am  Comments (9)  

Lupa..

Bumi UK, indah dipandangan. Hidup ku berubah disini. Malangnya perubahan itu menjadikan aku lupa. Hati semakin kotor dinoda dosa. Malu diriku kepada Allah. Malu pada ibu. Tangan ditadah, adakah diterima doaku, ibadahku, amalanku…

Dahulunya aku tinggal dirumah kayu, beratapkan atap nipah. Mudah bocor ditimpa hujan. Besen menjadi penadah, mengelakkan lantai basah. Nyamuk teman bertepuk tampar diwaktu malam. Ubat nyamuk fumakila menjadi perisai. Diperkukuhkan benteng malam dengan kelambu agar serangan penghisap darah itu dapat dipatahkan. Kotak yang potong petak menjadi kipas menghembus angin, pendingin hawa termurah. Sekadar rawatan bagi kepanasan malam sebelum mata terpejam.

Waktu pagi yang dingin, kolah air yang sejuk membeku menjadi jirusan mandi. Berketar-ketar badan tetap dijirus jua. Sarapan pagi cekodok pisang yang panas, hasil kerja tangan ibu melenyek pisang awak masak ranum  semalam, mujur pisang berbuah.

Baju sekolah ku sarungkan, buku teks ku masukkan ke dalam beg, basikal ku tunggangi ke sekolah. Duit sekolah 30sen cukup untuk sehari belanja. Waktu rehat air 10 sen jadi santapan. Pulang kerumah, sepinggan nasi aku sental licin walaupun hanya ikan temenung goreng dengan kicap. 20sen ku simpan untuk ku guna kemudian. Kadang-kadang terliur melihat rakan-rakan menjamah nasi ayam berharga 60 sen. Jika 20sen ku kumpul 3 hari insyaAllah hari rabu atau khamis akan ku jamah nasi ayam masak merah yang popular kesedapannya itu.

Walaupun hidup tidak sesenang orang lain namun masih bersyukur keluargaku bahagia. Jiranku lebih berada, seronoknya kalau diajak main game TV, tapi itulah yang ibu selalu larang “jangan dok main benda oghang, satgi ghosak sapa nak ganti, bukannya mughah benda tu, pi tengok sudah”.

Bila ‘berjalan’ ke rumah kawan, dapat main, tapi itulah yang ibu larang “toksah pi bejalan ghumah oghang sangat, kacau oghang saja, satgi hilang benda oghang, hang yang kena tuduh, aku la yang nak kena ganti, kita bukan banyak duit”.

Mainan bagi budak-budak memanglah ibarat emas bagi mereka, termasuklah aku. “mak, chek nak ghobot tu” jawapan ibu “apa, ghobot? hang gheti main ka? Buang duit saja, beli makan lagi baguih, mahai tu, hang nak beli pakai apa? Mak takdak duit” dilanjutkan bicara ibu “himpun la duit kalau nak beli”.

Pastinya aku memberontak dan menangis, tapi akur dengan arahan. Umur semuda itu manalah dapat dirasionalkan larangan itu. Hari ini barulah aku terfikir betapa apa yang dilarang ibu ia adalah untuk kebaikanku. Emak ajar untuk sedar siapakah diri ini, apa kedudukan diri. Kesusahan itu satu peringatan. Emak mana yang tak mahu anaknya senang dan gembira, tapi janganlah diturutkan semua kehendak anak. Emak beri apa yang PERLU bukan apa yang aku MAHU. Jika menginginkan sesuatu, kumpullah duit sendiri, buatlah sendiri. Bersusah-susah itu perlu.

Tapi hari ini hidup aku berubah, apa ku mahu akan ku dapat. Mahukan game, ebay tempatnya, mahukan robot, meng’ebay’, tak perlu dirisau. Tempat tinggal ku kini di rumah batu. Bilik dilengkapi heater/kipas, air panas tersedia diwaktu pagi. Sarapan yang mewah, duit poket yang meruah. Berjalanlah saja kemana pun, tak ada yang melarang. Berkawanlah dengan siapa pun tiada yang melarang. Tiada yang mengingatkan aku siapa sebenarnya diri aku.

Akulah dulu yang tinggal dirumah kayu beratap nipah. Akulah dulu yang makan ikan temenung goreng dengan kicap. Akulah dulu yang hanya menonton rakan-rakan lain bermain main game TV dari jendela. Tak usahlah berlagak, siapalah sangat aku.

Kala aku sedang bersenang-senang disini, bagaimana agaknya ibu di kampung. Aku lupa. Kala aku bergelak ketawa disini, bagaimana agaknya ibuku di kampung. “Belajaq la ghajin-ghajin kat sana, buat elok-elok. Nanti hang la senang, mak takpa, mak tak lama dah, nanti masa depan senang, tak hidup susah macam mak. Belajaq la elok-elok.” Nasihat mak yang ringkas dan padat serta berisi.

Sesungguhnya hati ini rindukan peringatan yang mengingatkan. Peringatan yang menyedarkan asal-usul ku. “Maafkan chek mak, chek kadang-kadang lupa pasai pa mai sini, doa-doa la chek kat sini, bagi ghajin belajaq sikit”. Jawapan mak “Haa, doaa, Mak haghi-haghi doa, bagi senang semua anak-anak mak, hang buat la elok-elok”…

Jelaslah sekarang aku yang lupa.. sedang mak tidak pernah lupa kepada setiap anak-anaknya. Begitu juga Allah yang tidak pernah lalai dengan diriku. Aku LUPA…

Sekadar peringatan untuk diri sendiri agar tak lupa daratan dan asal usul ku.

Seperti Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab, tatkala beliau adalah Khalifah pada ketika itu, selepas satu waktu solat beliau naik ke mimbar lalu berkata “Kau berbangga dikedudukan kau sekarang Ya Umar, ingatlah dulu kau hanya seorang penggembala kambing” lalu beliau turun dari mimbar. Lalu orang ramai bertanya apakah releven tindakan beliau. Ternyata apa yang dilakukan Saidina Umar adalah untuk mengingatkan diri agar kedudukan yang dikecapi ketika itu tidak menyebabkan dirinya lupa.

Hampir-hampir diriku lupa. Semoga ada yang mengingatkanku….

Syumulislam

7 Rabiulakhir 1430 @ Sheffield

Published in: on April 3, 2009 at 11:01 pm  Comments (3)  

Takda masa la!!! Betul ke???

masa

(Artikel ini adalah muhasabah untuk diri sendiri yakni si penulis)

Sori la, aku takda masa, sibuk”

Inilah antara alasan yang sering diberi jika ku perlu menolak ajakan seseorang.

Tapi benarkah ku ‘takda masa’?

Spring Semester

Hicks Building

Spring semester ku akan bermula 9hb Februari ini dan berakhir pada 12hb jun. Jika dikira jumlah hari yang ada dalam tempoh ini, ku ada 124 hari sepanjang spring sem ni. 124 hari ini termasuk cuti minggu dan cuti easter.

Kiraan untuk diri sendiri ( Berdasarkan jadual pelajar pure math)

9/2/09 – 12/6/09  = 124 hari

Lecture week = 12 minggu = 12 x 5 hari = 60 hari ( tak termasuk cuti sabtu & ahad)

Exam week = 3 minggu = 3 x 5 hari = 15 hari ( tapi 6 paper je ) -> 6 hari

60 hari + 6 hari = 66 hari ( hari yang ada kelas dan exam)

124 hari – 66 hari = 58 hari ( boleh dikategorikan sebagai hari cuti)

Hari yang digunakan secara rasmi untuk kos Pure Math hanyalah 66 hari. Selebihnya 58 hari (2bulan) adalah cuti. Hampir separuh dari spring sem adalah cuti untuk ku. Tapi masih ada rungutan yang mengatakan masa tak cukup.

Kemana ku buang masa yang 58 hari itu???

Hmm, payah soalan tu….

Masa itu emas

Itulah pepatah melayu yang menunjukkan betapa berharganya masa. Bahkan didalam Al-Quran juga disebut tentang masa iaitu dalam Surah Al-‘Ars. Allah bersumpah dengan Al-‘Ars yang bermaksud masa atau detik zaman yang dilalui oleh manusia. Ini menunjukkan bahawa betapa masa itu adalah satu sesuatu yang sangat besar nilainya dan penting sehingga Allah bersumpah demi masa.

Jadi peringatan untuk diri sendiri, janganlah disalahkan masa, andai terasa masa itu tidak cukup, salahkanlah diri sendiri yang tak pandai menjaga dan mengurus masa. Orang-orang tak menghargai masa sesungguhnya mereka dalam kerugian, melainkan bagi orang yang menggunakan masanya untuk beramal soleh serta berdakwah dengan berpesan-pesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Kalau tak nak rugi, beramal solehlah dan berdakwahlah.

Beramal soleh itu luas definisinya, kerana Islam itu adalah cara hidup, dan hidup ini kira sebagai ibadah, itulah syumulnya Islam. Baca buku, buat latihan, pergi ke kelas, cari maklumat dalam internet juga akan dikira sebagai ibadah jika betul niat kita dan betul kerja kita itu.

6 syarat untuk kerja dikira sebagai ibadah, 2 perkara sebelum kerja dilakukan, 3 perkara semasa kerja dilakukan dan 1 perkara selepas kerja dilakukan iaitu:

Sebelum memulakan kerja/perkara:

1. Niat kerana Allah

2. Kerja/perkara yang dilakukan itu sesuatu yang dibenarkan syarak

Semasa melakukan kerja/perkara:

3. Kerja/perkara itu tidak bercampur aduk dengan perkara-perkara yang haram dan yang ditegah oleh syariat

4. Melakukan kerja/perkara secara optimum yakni bersungguh-sungguh (jangan cincai-cincai)

5. Semasa buat kerja/perkara itu, ibadah asas tidak ditinggalkan yakni solat dan sebagainya

Selepas kerja/perkara dilakukan atau selesai:

6. Hasil dari kerja/perkara yang kita lakukan, kita gunakanuntuk perkara yang wajib dan baik ( e.g: gaji digunakan untuk bayar zakat dan kegunaan keluarga, bukan berfoya-foya atau membazir)

Panjang cerita pulak

Kesimpulannya, khususnya untuk diri sendiri ialah:

1. Gunakanlah masa dengansebaiknya, 58 hari cuti itu gunakanlah sebaik mungkin, jangan disia-siakan.

2. Janganlah memberi alasan tiada masa kerana semua orang Allah berikan nikmat masa 24jam sehari. Jika mengatakan tiada masa bererti diri sudah tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan bimbang kufur nikmat pula.

3. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah yang bermaksud: Janganlah kamu mencela masa kerana Allah itu sinonim diri-Nya dengan masa.

4. Uruslah masa dengan baik semoga diri tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi.

5. Ayuh Diriku, sibukkanlah diri dengan menimba Ilmu kerna ku bakal Pendidik anak bangsa

Allahu wa Rasuluhu ‘alam

Syumulislam: 4 Feb 09, 12:33am Sheffield

Published in: on Februari 4, 2009 at 8:43 am  Comments (2)  

4 Perkara yang jika dilakukan, hidup akan tenang

4

4 perkara yang jika kita lakukan dalam hidup kita, insyaAllah hidup kita akan menjadi tenang dan bahagia.

Dimana 2 perkara perlu kita ingat dan 2 perkara perlu kita lupakan.

1. Ingatlah semua kebaikan orang lain kepada kita.

2. Ingatlah semua kesalahan yang kita lakukan kepada orang lain.

3. Lupakan semua kebaikan yang pernah kita lakukan kepada orang lain.

4. Lupakan semua kesalahan orang lain kepada kita.

Keterangan

1. Ingatlah semua kebaikan yang dilakukan orang kepada kita lebih-lebih lagi kepada satu pihak yang paling banyak berjasa dalam hidup kita yakni Allah.

Kita syirik ke, kita tak mahu sembahyang ke, kita mencuri ke, Allah tetap bagi nikmat-Nya kepada kita. Tak pernah tiap-tiap bulan malaikat ketuk pintu rumah beri bil oksigen, tak bayar bulan ni, bulan depan potong bekalan oksigen. Tak ada. Betapa Maha Pemurahnya Allah kepada kita, tapi sedikit sahaja yang bersyukur.

2. Ingatlah semua kesalahan yang kita lakukan kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada Allah. Janganlah mudah dilupakan kesalahan-kesalahan kita kerana mungkin ada yang dimaafkan, namun mungkin tak dapat dilupakan. Mungkin kesalahan kita itu tidak dimaafkan dan tidak dilupakan atau mungkin juga telah dimaafkan dan juga dilupakan.

Kerana jika kita lupa yang kita pernah melakukan kesalahan, bimbang-bimbang kita akan merasa diri inilah yang paling mulia dan baik, sedangkan kita sebenarnya banyak kesalahan lebih-lebih lagi kepada Allah. Ingatlah dosa-dosa kita yang lalu adakah diampunkan atau tidak…

3. Lupakanlah semua kebaikan yang pernah kita lakukan kepada orang lain kerana jika dibandingkan kebaikan yang Allah lakukan ke atas lebih banyak daripada kebaikan kita yang hanya secebis debu.

Janganlah diungkit-ungkit kebaikan kita pernah lakukan kerana itulah pembatal pahala kita. Sebenarnya kebaikan yang kita lakukan terlalu sedikit, sebab itulah kita mudah mengungkit. Sedikit mudah diingat, jika banyak  sudah pasti kita tak ingat. Lupakanlah kebaikan kita dan kenangkanlah kebaikan Allah kepada kita agar kita bersyukur.

4. Lupakanlah semua kesalahan orang kepada kita kerana kita pun turut melakukan kesalahan. Maafkanlah kesalah orang lain kepada kita kerana ia akan memberi ketenangan di dalam hidup kita.

Cuba kita bayangkan jika kita masih menyimpan marah kepada orang, sedangkan orang yang kita marahkan itu dah tak fikir dan ingat dah pun perkara itu. Kita akan sentiasa dalam kemarahan kerana tak dapat melupakan kesalahan orang, dibawa marah itu kemana-mana sahaja. Akhirnya hidup kita yang tertekan, sedangkan orang kita marah itu dah hidup tenang. Maafkanlah kesalahan orang lain, dan jika sukar memaafkan orang, orang turut akan sukar memaafkan kita.

Dan ingatlah kesalahan kita paling banyak adalah kepada Allah, tetapi Allah tetap mengampun dosa kita jika memohon keampunan.

Fikir-fikirkanlah. Semoga hidup kita akan tenang dan bahagia.

Published in: on Januari 28, 2009 at 11:15 pm  Comments (2)  

Oksigen oh oksigen..

oksigen

Ingat tak lagi bila kali pertama perkataan oksigen kita dengar?

Mungkin paling lambat pun semasa di darjah empat sekolah rendah dalam matapelajaran sains. Tapi mungkin sekarang jika disebut tentang oksigen kita boleh tersenyum lebar kerana kita pernah belajar tentangnya.

Sekurang-kurangnya kita tahu apa fungsi oksigen kepada kita, semestinya untuk kita bernafas.

Tapi tahukah kita bila oksigen mula ditemui oleh saintis?

Oksigen ditemui pada tahun 1773 oleh Carl Wilhelm Scheele, tetapi penemuan ini terbitkan oleh Joseph Priestley pada tahun 1774.

Sebenarnya!

“Oksigen” diceritakan perihalnya lebih awal daripada 2 orang saintis ini iaitu kira-kira 1400 tahun yang lalu, Allah telah menceritakan kepada manusia tentang “oksigen” di dalam Al-Quran. Memanglah tiada perkataan “oksigen” dalam Al-Quran, tetapi perihal oksigen itu ada disebut di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT:

Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membuka dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman”

(surah Al-An’am: ayat 125)

Subhanallah..

Dengan ilmu sains yang kita ada tentu kita tahu, tanpa oksigen manusia tidak mampu bernafas. Dan kita tahu apabila kita semakin jauh dari permukaan bumi, udara semakin menipis dan semakin tiada oksigen. Manusia jika berada di tempat yang sangat tinggi, dia akan mengalami kesukaran bernafas. Dan itulah yang diceritakan oleh Allah kepada manusia tentang “oksigen”, dalam memberi peringat, Allah turut mengajar kita.

Ketika ayat ini diturunkan 1400 tahun yang lalu di Madinah, Allah telah menceritakan sesuatu yang diluar pengetahuan manusia pada ketika itu. Pada masa itu manusia tidak pernah melepasi ketinggian yang memungkinkan udara menipis. Bukit yang ada di Madinah salah satunya ialah bukit Uhud yang hanya berketinggian 140m. Jadi perkara ini suatu yang baru pada ketika itu. Dan hari ini ternyata perkara yang disebut di dalam Al-Quran 1400 tahun dahulu adalah fakta benar melalui kajian sains.

Ini menunjukkan bahawa kitab Al-Quran datang daripada Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana yakni Allah. Tiada yang lebih mengetahui sesuatu perkara itu melainkan Penciptanya sendiri.

Fikir dan Zikir

Yang ingin saya bawa disini ialah saya dan kita semua kadang-kadang terlepas pandang pada perkara yang dianggap biasa. Sebenarnya tersirat tanda-tanda Kebesaran Allah.

Setiap hari kita menghirup oksigen untuk hidup, tapi jarang kita bersyukur nikmat oksigen yang diberi percuma ini. Kita tidak perlu membayar bil bulanan bagi penggunaan oksigen, Allah beri secara percuma “free” kepada  kita. Tapi jarang diri ini bersyukur.

Pesanan untuk diri dan semua, bersyukurlah dengan nikmat oksigen yang kurniakan kepada kita. Tanpa oksigen kita akan mati. Janganlah mencemarkan udara, jika udara tercemar, tercemarlah juga oksigen. Walaupun nampak remeh, tetapi bimbang dengan kelalaian kita menjaga alam sekitar akan menyebabkan kita kufur dengan nikmat Allah.

Allah menambah nikmat bagi orang yang bersyukur, dan Allah tidak akan tambah nikmat-Nya bagi orang yang kufur. Sama-sama kita bermuhasabah diri.

Seeru ‘ala barakatillah.

Syumulislam, Sheffield, UK 8:44pm.

Published in: on Disember 17, 2008 at 9:00 pm  Comments (3)  

Melihat yang tersirat disebalik yang tersurat

Melihat yang tersirat disebalik yang tersurat.

Mohd Yasir Haziq

Uuwweekk!! Uuwwekk!! Uuwweekk!!

Tambah lagi sorang ‘hero’ dalam rumah ni. Mana pak budak ni, Azankan anak ni.”kata mak bidan kepada si ayah yang baru menerima kelahiran orang baru dalam hidup.

Mungkin inilah dialog yang berlaku semasa saya dilahirkan.

Azan dan Iqamah

Muazzin

Cuba kita lihat, contohnya jika kita ke masjid, apabila masuknya waktu solat, azan akan dilaungkan menandakan masuknya waktu solat. Kemudian kita akan ada sedikit masa untuk mengerjakan solat sunat. Selepas itu muazzin akan melaungkan Iqamah untuk memulakan solat jemaah.

Selepas selesai Iqamah dilaungkan kita akan menyegerakan mengangkat takbiratul ihram untuk mengerjakan solat. Tidak sewajarnya senggang masa antara Iqamah dan takbiratul ihram itu dipanjang.

Mungkin ia suatu perkara yang kita ulang-ulang dalam hidup kita, tapi kita tidak dapat mengambil pelajaran darinya kerana kita menganggap ia suatu perkara yang biasa, ataupun kita tidak mahu diri letih memikirkan pengajaran dari perkara ini.

Melihat yang tersirat disebalik yang tersurat

Jika kita lihat perjalanan kehidupan kita, semasa kita lahir kedunia. Ayah kita akan melaungkan Azan keatas kita, dan kemudian Iqamah dibacakan keatas kita. Maksudnya kita telah di’Azan’kan dan kita telah di’Iqamah’kan. Satu perkara yang belum lagi dilakukan ke atas kita adalah meng’takbiratul ihram’kan kita. Yakni solat jenazah keatas kita.

Semestinya senggang masa antara Iqamah dan takbiratul ihram itu tidak panjang. Dan senggang masa itu adalah kehidupan kita. Jadi sepanjang nyawa kita dikala hidup ini tidaklah panjang, hanyalah sekadar tempoh masa di antara Iqamah dan Takbiratulihram.

Hidup sementara

Oleh itu apa yang kita isi dalam kehidupan kita yang terlalu singkat ini? Adakah kita penuhi hidup ini dengan keinginan nafsu yang tak akan pernah puas. Atau kita kembali kepada tujuan kita dijadikan Allah dimuka bumi ini yakni untuk mengabdikan diri kepada-Nya, Tuhan yang memberi nikmat hidup ini.

Sama-samalah kita memuhasabah diri kita.

Seeru ‘ala barakatillah.

Sheffield, UK, 12:08am

Published in: on November 16, 2008 at 12:32 am  Comments (6)