Takda masa la!!! Betul ke???

masa

(Artikel ini adalah muhasabah untuk diri sendiri yakni si penulis)

Sori la, aku takda masa, sibuk”

Inilah antara alasan yang sering diberi jika ku perlu menolak ajakan seseorang.

Tapi benarkah ku ‘takda masa’?

Spring Semester

Hicks Building

Spring semester ku akan bermula 9hb Februari ini dan berakhir pada 12hb jun. Jika dikira jumlah hari yang ada dalam tempoh ini, ku ada 124 hari sepanjang spring sem ni. 124 hari ini termasuk cuti minggu dan cuti easter.

Kiraan untuk diri sendiri ( Berdasarkan jadual pelajar pure math)

9/2/09 – 12/6/09  = 124 hari

Lecture week = 12 minggu = 12 x 5 hari = 60 hari ( tak termasuk cuti sabtu & ahad)

Exam week = 3 minggu = 3 x 5 hari = 15 hari ( tapi 6 paper je ) -> 6 hari

60 hari + 6 hari = 66 hari ( hari yang ada kelas dan exam)

124 hari – 66 hari = 58 hari ( boleh dikategorikan sebagai hari cuti)

Hari yang digunakan secara rasmi untuk kos Pure Math hanyalah 66 hari. Selebihnya 58 hari (2bulan) adalah cuti. Hampir separuh dari spring sem adalah cuti untuk ku. Tapi masih ada rungutan yang mengatakan masa tak cukup.

Kemana ku buang masa yang 58 hari itu???

Hmm, payah soalan tu….

Masa itu emas

Itulah pepatah melayu yang menunjukkan betapa berharganya masa. Bahkan didalam Al-Quran juga disebut tentang masa iaitu dalam Surah Al-‘Ars. Allah bersumpah dengan Al-‘Ars yang bermaksud masa atau detik zaman yang dilalui oleh manusia. Ini menunjukkan bahawa betapa masa itu adalah satu sesuatu yang sangat besar nilainya dan penting sehingga Allah bersumpah demi masa.

Jadi peringatan untuk diri sendiri, janganlah disalahkan masa, andai terasa masa itu tidak cukup, salahkanlah diri sendiri yang tak pandai menjaga dan mengurus masa. Orang-orang tak menghargai masa sesungguhnya mereka dalam kerugian, melainkan bagi orang yang menggunakan masanya untuk beramal soleh serta berdakwah dengan berpesan-pesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Kalau tak nak rugi, beramal solehlah dan berdakwahlah.

Beramal soleh itu luas definisinya, kerana Islam itu adalah cara hidup, dan hidup ini kira sebagai ibadah, itulah syumulnya Islam. Baca buku, buat latihan, pergi ke kelas, cari maklumat dalam internet juga akan dikira sebagai ibadah jika betul niat kita dan betul kerja kita itu.

6 syarat untuk kerja dikira sebagai ibadah, 2 perkara sebelum kerja dilakukan, 3 perkara semasa kerja dilakukan dan 1 perkara selepas kerja dilakukan iaitu:

Sebelum memulakan kerja/perkara:

1. Niat kerana Allah

2. Kerja/perkara yang dilakukan itu sesuatu yang dibenarkan syarak

Semasa melakukan kerja/perkara:

3. Kerja/perkara itu tidak bercampur aduk dengan perkara-perkara yang haram dan yang ditegah oleh syariat

4. Melakukan kerja/perkara secara optimum yakni bersungguh-sungguh (jangan cincai-cincai)

5. Semasa buat kerja/perkara itu, ibadah asas tidak ditinggalkan yakni solat dan sebagainya

Selepas kerja/perkara dilakukan atau selesai:

6. Hasil dari kerja/perkara yang kita lakukan, kita gunakanuntuk perkara yang wajib dan baik ( e.g: gaji digunakan untuk bayar zakat dan kegunaan keluarga, bukan berfoya-foya atau membazir)

Panjang cerita pulak

Kesimpulannya, khususnya untuk diri sendiri ialah:

1. Gunakanlah masa dengansebaiknya, 58 hari cuti itu gunakanlah sebaik mungkin, jangan disia-siakan.

2. Janganlah memberi alasan tiada masa kerana semua orang Allah berikan nikmat masa 24jam sehari. Jika mengatakan tiada masa bererti diri sudah tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan bimbang kufur nikmat pula.

3. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah yang bermaksud: Janganlah kamu mencela masa kerana Allah itu sinonim diri-Nya dengan masa.

4. Uruslah masa dengan baik semoga diri tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi.

5. Ayuh Diriku, sibukkanlah diri dengan menimba Ilmu kerna ku bakal Pendidik anak bangsa

Allahu wa Rasuluhu ‘alam

Syumulislam: 4 Feb 09, 12:33am Sheffield

Advertisements
Published in: on Februari 4, 2009 at 8:43 am  Comments (2)  

4 Perkara yang jika dilakukan, hidup akan tenang

4

4 perkara yang jika kita lakukan dalam hidup kita, insyaAllah hidup kita akan menjadi tenang dan bahagia.

Dimana 2 perkara perlu kita ingat dan 2 perkara perlu kita lupakan.

1. Ingatlah semua kebaikan orang lain kepada kita.

2. Ingatlah semua kesalahan yang kita lakukan kepada orang lain.

3. Lupakan semua kebaikan yang pernah kita lakukan kepada orang lain.

4. Lupakan semua kesalahan orang lain kepada kita.

Keterangan

1. Ingatlah semua kebaikan yang dilakukan orang kepada kita lebih-lebih lagi kepada satu pihak yang paling banyak berjasa dalam hidup kita yakni Allah.

Kita syirik ke, kita tak mahu sembahyang ke, kita mencuri ke, Allah tetap bagi nikmat-Nya kepada kita. Tak pernah tiap-tiap bulan malaikat ketuk pintu rumah beri bil oksigen, tak bayar bulan ni, bulan depan potong bekalan oksigen. Tak ada. Betapa Maha Pemurahnya Allah kepada kita, tapi sedikit sahaja yang bersyukur.

2. Ingatlah semua kesalahan yang kita lakukan kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada Allah. Janganlah mudah dilupakan kesalahan-kesalahan kita kerana mungkin ada yang dimaafkan, namun mungkin tak dapat dilupakan. Mungkin kesalahan kita itu tidak dimaafkan dan tidak dilupakan atau mungkin juga telah dimaafkan dan juga dilupakan.

Kerana jika kita lupa yang kita pernah melakukan kesalahan, bimbang-bimbang kita akan merasa diri inilah yang paling mulia dan baik, sedangkan kita sebenarnya banyak kesalahan lebih-lebih lagi kepada Allah. Ingatlah dosa-dosa kita yang lalu adakah diampunkan atau tidak…

3. Lupakanlah semua kebaikan yang pernah kita lakukan kepada orang lain kerana jika dibandingkan kebaikan yang Allah lakukan ke atas lebih banyak daripada kebaikan kita yang hanya secebis debu.

Janganlah diungkit-ungkit kebaikan kita pernah lakukan kerana itulah pembatal pahala kita. Sebenarnya kebaikan yang kita lakukan terlalu sedikit, sebab itulah kita mudah mengungkit. Sedikit mudah diingat, jika banyak  sudah pasti kita tak ingat. Lupakanlah kebaikan kita dan kenangkanlah kebaikan Allah kepada kita agar kita bersyukur.

4. Lupakanlah semua kesalahan orang kepada kita kerana kita pun turut melakukan kesalahan. Maafkanlah kesalah orang lain kepada kita kerana ia akan memberi ketenangan di dalam hidup kita.

Cuba kita bayangkan jika kita masih menyimpan marah kepada orang, sedangkan orang yang kita marahkan itu dah tak fikir dan ingat dah pun perkara itu. Kita akan sentiasa dalam kemarahan kerana tak dapat melupakan kesalahan orang, dibawa marah itu kemana-mana sahaja. Akhirnya hidup kita yang tertekan, sedangkan orang kita marah itu dah hidup tenang. Maafkanlah kesalahan orang lain, dan jika sukar memaafkan orang, orang turut akan sukar memaafkan kita.

Dan ingatlah kesalahan kita paling banyak adalah kepada Allah, tetapi Allah tetap mengampun dosa kita jika memohon keampunan.

Fikir-fikirkanlah. Semoga hidup kita akan tenang dan bahagia.

Published in: on Januari 28, 2009 at 11:15 pm  Comments (2)  

Palestin!!! Maafkan ku kerana melupakan mu…

Maal hijrah kembali.

Dikala umat Islam menyambut tarikh bersejarah itu.

Ketika itulah Bumi Palestin diserang.

Dimanakah diriku semasa Gaza digempur???

Ku bergelak ketawa, sedang mereka menangis.

Ku bersendawa, sedang mereka haus dahaga,

Ku terlena ditilam empuk, sedang mereka berjaga menentang musuh,

Betapa aku saudaramu yang melupakanmu…

Maafkanku wahai penduduk palestin, aku leka dengan dunia. Aku lupa sengsara yang kau rasa. Biarlah hilang kenikmatan dunia, asalkan nasib engkau terbela…

Ya Allah bantulah hamba-Mu ini supaya aku dapat membantu saudaraku disana.

Ampunkan dosaku Ya Allah…

Video-video ini ditujukan kepada diri sendiri dan rakan-rakan.

(Doa orang-orang yang dizalimi itu mustajab. Penduduk Palestin akan berdoa agar balasan atas keganasan Zionis dibalas, bimbanglah mungkin Penduduk Palestin turut mendoakan orang-orang Islam yang tak pedulikan mereka turut menerima balasan dari Allah…)

Published in: on Disember 30, 2008 at 10:17 pm  Tinggalkan Komen  

Oksigen oh oksigen..

oksigen

Ingat tak lagi bila kali pertama perkataan oksigen kita dengar?

Mungkin paling lambat pun semasa di darjah empat sekolah rendah dalam matapelajaran sains. Tapi mungkin sekarang jika disebut tentang oksigen kita boleh tersenyum lebar kerana kita pernah belajar tentangnya.

Sekurang-kurangnya kita tahu apa fungsi oksigen kepada kita, semestinya untuk kita bernafas.

Tapi tahukah kita bila oksigen mula ditemui oleh saintis?

Oksigen ditemui pada tahun 1773 oleh Carl Wilhelm Scheele, tetapi penemuan ini terbitkan oleh Joseph Priestley pada tahun 1774.

Sebenarnya!

“Oksigen” diceritakan perihalnya lebih awal daripada 2 orang saintis ini iaitu kira-kira 1400 tahun yang lalu, Allah telah menceritakan kepada manusia tentang “oksigen” di dalam Al-Quran. Memanglah tiada perkataan “oksigen” dalam Al-Quran, tetapi perihal oksigen itu ada disebut di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT:

Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membuka dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman”

(surah Al-An’am: ayat 125)

Subhanallah..

Dengan ilmu sains yang kita ada tentu kita tahu, tanpa oksigen manusia tidak mampu bernafas. Dan kita tahu apabila kita semakin jauh dari permukaan bumi, udara semakin menipis dan semakin tiada oksigen. Manusia jika berada di tempat yang sangat tinggi, dia akan mengalami kesukaran bernafas. Dan itulah yang diceritakan oleh Allah kepada manusia tentang “oksigen”, dalam memberi peringat, Allah turut mengajar kita.

Ketika ayat ini diturunkan 1400 tahun yang lalu di Madinah, Allah telah menceritakan sesuatu yang diluar pengetahuan manusia pada ketika itu. Pada masa itu manusia tidak pernah melepasi ketinggian yang memungkinkan udara menipis. Bukit yang ada di Madinah salah satunya ialah bukit Uhud yang hanya berketinggian 140m. Jadi perkara ini suatu yang baru pada ketika itu. Dan hari ini ternyata perkara yang disebut di dalam Al-Quran 1400 tahun dahulu adalah fakta benar melalui kajian sains.

Ini menunjukkan bahawa kitab Al-Quran datang daripada Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana yakni Allah. Tiada yang lebih mengetahui sesuatu perkara itu melainkan Penciptanya sendiri.

Fikir dan Zikir

Yang ingin saya bawa disini ialah saya dan kita semua kadang-kadang terlepas pandang pada perkara yang dianggap biasa. Sebenarnya tersirat tanda-tanda Kebesaran Allah.

Setiap hari kita menghirup oksigen untuk hidup, tapi jarang kita bersyukur nikmat oksigen yang diberi percuma ini. Kita tidak perlu membayar bil bulanan bagi penggunaan oksigen, Allah beri secara percuma “free” kepada  kita. Tapi jarang diri ini bersyukur.

Pesanan untuk diri dan semua, bersyukurlah dengan nikmat oksigen yang kurniakan kepada kita. Tanpa oksigen kita akan mati. Janganlah mencemarkan udara, jika udara tercemar, tercemarlah juga oksigen. Walaupun nampak remeh, tetapi bimbang dengan kelalaian kita menjaga alam sekitar akan menyebabkan kita kufur dengan nikmat Allah.

Allah menambah nikmat bagi orang yang bersyukur, dan Allah tidak akan tambah nikmat-Nya bagi orang yang kufur. Sama-sama kita bermuhasabah diri.

Seeru ‘ala barakatillah.

Syumulislam, Sheffield, UK 8:44pm.

Published in: on Disember 17, 2008 at 9:00 pm  Comments (3)  

Melihat yang tersirat disebalik yang tersurat

Melihat yang tersirat disebalik yang tersurat.

Mohd Yasir Haziq

Uuwweekk!! Uuwwekk!! Uuwweekk!!

Tambah lagi sorang ‘hero’ dalam rumah ni. Mana pak budak ni, Azankan anak ni.”kata mak bidan kepada si ayah yang baru menerima kelahiran orang baru dalam hidup.

Mungkin inilah dialog yang berlaku semasa saya dilahirkan.

Azan dan Iqamah

Muazzin

Cuba kita lihat, contohnya jika kita ke masjid, apabila masuknya waktu solat, azan akan dilaungkan menandakan masuknya waktu solat. Kemudian kita akan ada sedikit masa untuk mengerjakan solat sunat. Selepas itu muazzin akan melaungkan Iqamah untuk memulakan solat jemaah.

Selepas selesai Iqamah dilaungkan kita akan menyegerakan mengangkat takbiratul ihram untuk mengerjakan solat. Tidak sewajarnya senggang masa antara Iqamah dan takbiratul ihram itu dipanjang.

Mungkin ia suatu perkara yang kita ulang-ulang dalam hidup kita, tapi kita tidak dapat mengambil pelajaran darinya kerana kita menganggap ia suatu perkara yang biasa, ataupun kita tidak mahu diri letih memikirkan pengajaran dari perkara ini.

Melihat yang tersirat disebalik yang tersurat

Jika kita lihat perjalanan kehidupan kita, semasa kita lahir kedunia. Ayah kita akan melaungkan Azan keatas kita, dan kemudian Iqamah dibacakan keatas kita. Maksudnya kita telah di’Azan’kan dan kita telah di’Iqamah’kan. Satu perkara yang belum lagi dilakukan ke atas kita adalah meng’takbiratul ihram’kan kita. Yakni solat jenazah keatas kita.

Semestinya senggang masa antara Iqamah dan takbiratul ihram itu tidak panjang. Dan senggang masa itu adalah kehidupan kita. Jadi sepanjang nyawa kita dikala hidup ini tidaklah panjang, hanyalah sekadar tempoh masa di antara Iqamah dan Takbiratulihram.

Hidup sementara

Oleh itu apa yang kita isi dalam kehidupan kita yang terlalu singkat ini? Adakah kita penuhi hidup ini dengan keinginan nafsu yang tak akan pernah puas. Atau kita kembali kepada tujuan kita dijadikan Allah dimuka bumi ini yakni untuk mengabdikan diri kepada-Nya, Tuhan yang memberi nikmat hidup ini.

Sama-samalah kita memuhasabah diri kita.

Seeru ‘ala barakatillah.

Sheffield, UK, 12:08am

Published in: on November 16, 2008 at 12:32 am  Comments (6)  

Memperbaharui Cara Dakwah

sekadar pendapat.
setelah 50 tahun merdeka, berapa ramai orang cina orang india yang tertarik dengan keindahan islam?
berkata benarlah bahwa tidak ramai..
kenapa macam tu?
sepatutnya apabila orang Islam ramai mestilah terserlahnya keindahan islam itu, orang islam rajin berusaha, suka membantu sesama saudara, tidak merendahkan orang, MENEPATI MASA, tidak menipu, bersatu dan bekerjasama.
adakah ada ciri-ciri ini dalam masyarakat sekarang?
bercakap benarlah, kalau adapun sedikit.

mengapa ini berlaku?
kenapa zina berleluasa, tak mahu pakai tudung, tak mahu solat, nak berjudi, nak ber’couple’. kenapa?
ini hanyalah masalah yang kita nampak, “presented problem”. ya memang kita boleh keluarkan 100 ayat al-quran dan hadis. tapi adakah penerimaan masyarakat diluar sana sama dengan KITA.
Kita berbincang dalam lingkungan masyarakat yang sudah ada kefahaman islam memang ayat Al-quran dan hadis kita terima tanpa was-was.
sebagai contoh kita boleh marahkan orang yang tak mahu sembahyang dengan ayat” astaghfirullah, kenapa tak mahu sembahyang, tahu tak dalam Al-quran ada menyebut tentang kewajipan solat, surah ini ada menyebut, hadis nabi pun ada menyebut wajib solat”
Agak-agak ia diterima atau tidak, saya berani cakap 1% sahaja orang terima. Mereka mungkin akan sembahyang hari ni, tetapi adakah dia akan terus bersolat? dia mungkin bersolat hanya untuk menyedapkan mata kita dan dia pun malas nak dengar bebelan kita.selepas kita dah jauh daripada dia, dia mungkin tidak akan bersolat semula kerana kita nak suruh dia sembahyang nak suruh dia sembah APA, tiada tuhan dalam diri mereka.

tapi tahukah kita keadaan masyarakat diluar sana? berapa jauhnya mereka dari kuliah2 dan perbincangan seperti ini. mereka tidak mudah-mudah terima ayat Al-quran dan hadis sebagai jawapan. kerana MASALAH SEBENAR mereka bukanlah pada nak buat maksiat.
tetapi masalah mereka adalah masih relevenkah Agama dalam kehidupan, mereka tahu ada Allah tapi mereka tidak mempercayai Allah. Apa perlunya TUHAN dalam hidup mereka.

inilah yang menjadi cabaran bagi kita sebagai Daie dan pendakwah untuk menerangkan kepada masyarakat tentang PERLUNYA HIDUP INI PADA ALLAH.

saya tidak ada penyelesai untuk perkara ini kerana jawapannya ada pada kita sebagai daie. kita perlu pada satu pendekatan Dakwah yang baru. yang lebih berkesan supaya masyarakat dapat menerima mesej yang ingin disampaikan. fikir-fikirkanlah, jadilah daie yang berjiwa Faqih. berfikir sebelum membuat keputusan.

baiklah pendapat saya untuk mengelak maksiat ialah sama juga dengan point diatas, kalau dalam diri ada TUHAN yakni ALLAH, dan kita tahu ALLAH mengetahui apa yang kita lakukan dan membalasnya, adanya syurga dan neraka. ingatlah semasa nak buat maksiat itu adakah pertimbangan syurga dan neraka sudah ada dalam pemikiran. adakah perkara yang kita lakukan akan dikira sebagai pahala yang membolehkan kita kesyurga atau ia dikira sebagai dosa yang melayakkan kita masuk neraka.

jadikan tabiat untuk meletakkan pertimbangan syurga dan neraka dalam setiap perkara yang kita lakukan.

seeru ‘ala barakatillah

Published in: on Jun 13, 2008 at 1:20 am  Tinggalkan Komen  

Selamat Datang

Assalamualaikum w.r.t

Terima kasih kerana sudi menjenguk blog saya yang tidak seberapa ini. Keinginan yang tinggi untuk memiliki blog sendiri bukanlah kerana ingin membincangkan hal-hal berkaitan tentang hukum-hukum Agama. Saya tidak ada kemahiran untuk itu. Cumanya rasa tanggungjawab untuk berdakwah dan berkongsi sesuatu yang saya harap sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada kita semua untuk merasai Apa Indahnya Islam itu untuk kita amalkan dalam hidup ini. Masih significantkah Islam untuk kita selaku masyarakat yang moden dan maju ini? Adakah kita perlu menjadi “Ustaz” dan “Ustazah” untuk menjadi “baik”?

Kesemua persoalan-persoalan ini mungkin saya tidak dapat menjawab dan memberi jawapan yang tetap kerana siapalah saya untuk memperkatakannya. Cuma saya berasa perkara ini perlu kita fikirkan dan diteliti. InsyaAllah semoga saya dapat memberi walaupun sedikit manfaat kepada semua dengan Ilmu yang masih tidak seberapa ini. Semoga Allah membantu saya dan kita semua dalam berkongsi pandangan yang diniatkan untuk mencari keredhaan Allah, InsyaAllah.

Jazakallah

Published in: on Mei 27, 2008 at 10:47 pm  Tinggalkan Komen